Polis kesan suspek kes khianat berhampiran CIQ Linkedua

Tangkap layar rakaman video berkaitan kes khianat di jalan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar pada Sabtu.
Tangkap layar rakaman video berkaitan kes khianat di jalan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar pada Sabtu.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Polis sedang mengesan suspek kes khianat di jalan berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa telah bergesel dengan kereta dipandu dua suspek terbabit.

"Ketika kejadian, mangsa yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard mengubah laluan ke kanan dan telah bergesel dengan sebuah kereta jenis KIA yang dinaiki dua suspek dari arah kanan.

"Suspek telah berhentikan kenderaan sebelum seorang lelaki dan seorang perempuan kemudiannya turun dari kenderaan terbabit. Suspek lelaki kemudian bertindak menjerit dan mengeluarkan perkataan serta menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

"Sementara itu suspek perempuan bertindak mencabut nombor pendaftaran kereta mangsa dan mencampak nombor pendaftaran itu ke arah cermin hadapan kereta mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Rahmat berkata ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang dari Forest City ke Singapura.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun berlaku kerosakan pada keretanya.

"Terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari 'dashcam' dalam kereta mangsa selain video tular dirakam pengguna jalan raya lain.

"Kes di siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.

Justeru, beliau menasihat pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah dan tidak terburu-buru terutama di laluan CIQ Link Kedua (Second Link) terutama ketika musim perayaan yang merekodkan jumlah kenderaan yang banyak.

Sebelum itu tular di media sosial memaparkan sebuah video yang berdurasi 2.06 minit berhubung kejadian terbabit.