561 peket minyak masak cuba diseludup ke negara jiran

Minyak masak peket yang berjaya dirampas PPM di perairan Pulau Sibangkat, Semporna.
Minyak masak peket yang berjaya dirampas PPM di perairan Pulau Sibangkat, Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Ketika rakyat Sabah semakin sukar mendapatkan minyak masak peket di sekitar pasar raya, penyeludup pula dilihat semakin rancak membawa bahan bersubsidi itu ke negara jiran untuk diedarkan di sana.

Bagaimanapun, dengan ketangkasan pasukan keselamatan membendung aktiviti penyeludupan berjaya merampas sebanyak 561 peket minyak masak di perairan Pulau Sibangkat, di sini, pada jam 10 malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejayaan rampasan itu dilakukan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi rondaan yang diadakan di kawasan berkenaan.

Katanya, sebuah bot pam dilihat dalam keadaan mencurigakan dan sebaik bot PPM menghampiri untuk pemeriksaan lanjut, suspek bertindak memecut ke kawasan perairan yang cetek.

"Suspek kemudian bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan hutan Pulau Sibangkat.

"Hasil pemeriksaan di dalam bot yang ditinggalkan menemui sebanyak 561 peket plastik minyak masak pelbagai jenama dan dua tong plastik berisi petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya lagi, nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan minyak berkenaan dianggarkan sebanyak RM10,000.

"Semua barang rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Farhan Lee dalam pada itu mengingat orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan penyeludupan minyak masak bersubsidi menyalurkannya ke balai polis berhampiran.

"Pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan ini kerana ia menjejaskan rakyat dan merugikan negara," tegasnya.