Banjir di Baling: Tiada keperluan tubuh RCI siasat bencana

Takiyuddin Hassan. Foto Bernama
Takiyuddin Hassan. Foto Bernama
A
A
A

BALING - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) yakin dengan kepakaran yang dimiliki Jabatan Mineral dan Geosains bagi mengenal pasti punca tragedi banjir dan kepala air tanpa perlu membentuk jawatan kuasa khas lain.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya merasakan bahawa tiada keperluan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mahupun Suruhanjaya Siasatan Awam bagi menyiasat bencana yang berlaku di Kampung Iboi, pada Isnin lalu.

Menurutnya, kepakaran yang dimiliki jabatan berkaitan khususnya JMG sudah berupaya untuk memberi maklumat terperinci dan siasatan menyeluruh kawasan bencana.

"Saya rasa tak perlulah RCI dan sebagainya, jabatan kita pun sudah ada kemampuan dan kepakaran yang tersendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika meninjau kawasan bencana dan pusat pemindahan sementara di sini pada Khamis.

Takiyuddin (tiga kiri) menyaksikan penyerahan sumbangan dari FGV.
Takiyuddin (tiga kiri) menyaksikan penyerahan sumbangan dari FGV.

Beliau turut berharap dengan kerjasama beberapa jabatan dan pasukan lain kerajaan negeri membantu penyiasatan dan mendapatkan laporan dengan pantas.

"Sebagaimana kita buat di Gunung Jerai, kita akan lihat kawasan lereng yang berisiko dan sebagainya selain pandangan teknikal akan diberikan kepada jabatan berkaitan misalnya Jabatan Kerja Raya (JKR) nak buat jalan dan lain-lain perlu kepada nasihat kepada JMG.

"Mereka pakar, mereka adalah ahli geologi yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, saranan Sahabat Alam Malaysia (SAM) agar kerajaan Kedah mengadakan Suruhanjaya Siasatan Awam bagi mengenal pasti punca tragedi banjir di Baling dan Gunung Jerai baru-baru ini.

Presiden SAM, Meenakshi Raman berkata, siasatan itu perlu bagi memastikan punca sebenar apa yang berlaku di negeri itu selain mengenal pasti langkah dan jurang yang perlu ditangani dengan segera.