Banjir Baling: 270 mangsa dari 17 kampung diselamatkan

Antara mangsa banjir yang diselamatkan oleh anggota JBPM dalam kejadian banjir Baling pada Selasa. -Foto: Facebook Reezal Merican
Antara mangsa banjir yang diselamatkan oleh anggota JBPM dalam kejadian banjir Baling pada Selasa. -Foto: Facebook Reezal Merican
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 270 mangsa daripada 17 buah kampung yang terjejas dalam kejadian banjir di Baling, Kedah berjaya diselamatkan setakat ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata, kesemua mangsa tersebut sedang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat.

“Dukacita juga ingin saya kongsikan seperti ramai sedia maklum di dalam laporan sebelum ini bahawa terdapat tiga kematian dilaporkan di Kampung Iboi.

“Saya turut menerima laporan mutakhir ‘real-time’ daripada pengarah bomba negeri mengenai keadaan semasa di Baling khususnya di kawasan yang masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Baling Superintendan sebelum ini memaklumkan seramai 334 mangsa banjir dari sembilan kampung di sini dipindahkan ke beberapa PPS setakat 2 pagi Selasa.

Dalam pada itu, Reezal Merican berkata, pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah dikerahkan di kawasan tersebut terdiri daripada 146 anggota.

Katanya, ia melibatkan pegawai kanan dan pegawai bomba JBPM Negeri Kedah; empat Pasukan Khas SAR, pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Pasukan STORM dan Pasukan Unit Dron dan tiga unit sokongan dari tiga buah negeri iaitu Perlis, Perak serta Pulau Pinang.

“Saya juga telah bercakap bersama Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkaitan kesiapsiagaan pasukan bomba dan penyelamat berada dalam keadaan optimum, tambahan anggota dari negeri lain juga akan disalurkan dengan kadar segera berdasarkan situasi dan keperluan semasa,” ujarnya.

BANJIR DI BALING: PASUKAN #WIRAMERAH KERAH KEKUATAN ANGGOTA & ASET DI TAHAP OPTIMUM Maklumat terkini kejadian banjir di...

Posted by Reezal Merican Naina Merican on Tuesday, July 5, 2022