'Bukk' juara kambing comel

Mohd Asrul Gulam (kanan) bersama pengunjung yang hadir ke Pertandingan Kambing Comel merakam gambar kenangan bersama 'Bukk'.
Mohd Asrul Gulam (kanan) bersama pengunjung yang hadir ke Pertandingan Kambing Comel merakam gambar kenangan bersama 'Bukk'.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lazimnya kita mendengar mengenai pertandingan kucing comel, tetapi bagaimana pula pertandingan ' Kambing Comel'?

Walaupun jarang didengari, tetapi itulah keunikan acara anjuran Persatuan Penternak Kambing Baka (PPKB) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pertandingan yang julung kali diadakan ini menyaksikan 'Bukk', kambing baka yang dibeli pemiliknya, Mohd Asrul Gulam Mohd, 33, di Bangkok, Thailand, menjuarai pertandingan itu semalam.

Dengan berat 97 kilogram (kg) dan warna serta kekemasan bulu yang cantik, selain aktif dan ceria melayakkan kambing jantan berusia tiga tahun itu menewaskan 100 kambing lain dari baka Janapari dan Anglo, yang menyertai pertandingan itu.

Mohd Asrul Gulam dari Kampung Surau Panjang di sini, berkata, beliau tidak menyangka penyertaan kali pertama selepas mula membela kambing baka sejak tiga tahun lalu, membuahkan hasil.

"'Bukk' adalah kambing baka pertama yang saya miliki. Ia bermula apabila abang angkat yang mengetahui minat saya untuk cuba membela kambing tiga tahun lalu mencadangkan supaya saya membela kambing baka.

"Selepas itu dengan bantuannya saya membeli kambing baka dari Bangkok dengan harga RM3,000 dan tidak sangka pula 'Bukk' hari ini membawa tuah kepada saya," katanya yang memperoleh hadiah wang tunai RM200, sijil dan hadiah iringan.

Mohd Asrul Gulam yang bekerja sebagai tukang kimpal berkata, dia pernah ditawarkan RM10,000 oleh individu yang berminat untuk membeli 'Bukk' ketika haiwan itu masih kecil, namun beliau menolaknya.

Artikel Berkaitan:

"Sayang hendak jual. Walaupun orang tawarkan beribu-ribu untuk membeli 'Bukk', saya tak bercadang mahu menjualnya. Tambahan pula penjagaan 'Bukk' sangat mudah dan ia tidak banyak masalah serta jarang sakit," katanya.

Beliau berkata, 'Bukk' diberi makan dua kali sehari merangkumi dedak, rumput dan daun sisip puyu dan setiap hari kos makanan kambing baka itu mencecah RM20 sehari.

Sementara itu Pengarah DVS Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali, berkata pihaknya gembira kerana pertandingan kali pertama itu mendapat sambutan hangat lebih 20 pemilik kambing baka dan merancang mengadakan pertandingan sama lebih kerap.

"Pertandingan ini membuktikan penternak bukan sahaja mampu menternak kambing, tetapi juga berkebolehan menganjurkan pertandingan seumpamanya dan kita sedia bekerjasama untuk pertandingan sama dalam skala lebih besar selepas ini," katanya.