SPR tentukan tarikh penting PRK Kuala Terengganu hari ini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan mesyuarat khas pada jam 10 pagi ini bagi menentukan tarikh-tarikh penting berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu.

Mesyuarat di Menara SPR Putrajaya itu akan dipengerusikan Pengerusi SPR,Tan Sri Abdul Ghani Salleh bagi membincangkan urusan PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut.

SPR akan mengadakan sidang akhbar sejurus selesai mesyuarat khas itu.

Khamis lepas, Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan memaklumkan mesyuarat khas itu diadakan selepas suruhanjaya menerima Laporan Hakim Pilihan Raya sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkenaan keputusan mahkamah membatalkan pilihan raya bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen Kuala Terengganu pada 19 Nov lepas.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang mewakili Pas di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selepas pempetisyen iaitu calon Barisan Nasional Datuk Mohd Zubir Embong, berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15.

Pada 8 Julai lepas, Pas memutuskan untuk tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kuala Terengganu yang membatalkan kemenangan parti itu. - Bernama