RM465,000 kos tambahan PRK Kuala Terengganu

Abdul Ghani bercakap pada sidang media di Menara SPR hari ini berhubung tarikh-tarikh penting untuk PRK Parlimen Kuala Terengganu. - Foto Bernama
Abdul Ghani bercakap pada sidang media di Menara SPR hari ini berhubung tarikh-tarikh penting untuk PRK Parlimen Kuala Terengganu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dianggarkan memerlukan kos tambahan RM465,000, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh.

Menurutnya, jumlah itu memandangkan sebahagian besar daripada anggaran kos pelaksanaannya telah diambil kira dalam pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu.

"Seramai 1,995 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Kuala Terengganu," katanya menerusi sidang akhbar di Ibu Pejabat SPR di sini pada Selasa.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan kos keseluruhan bagi melaksanakan pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dianggarkan RM420 juta.

Sementara itu, sebanyak 44 buah pusat mengundi dengan 222 saluran diadakan bagi PRK Kuala Terengganu.

"Daftar pemilih terkini sehingga daftar pemilih tambahan April yang dikemas kini 21 Jun akan digunakan pada PRK ini," katanya.

Ia mengandungi seramai 123,575 pemilih yang terdiri daripada 122,160 pengundi biasa, 35 tentera serta pasangan, 1,362 polis dan 18 pengundi tidak hadir luar negara.

"Pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

Semakan maklumat pengundian telah mula dibuka pada 17 Julai kerana semua pengundi yang layak untuk mengundi dalam DUN P036 juga mengundi bagi PRK Kuala Terengganu," jelas beliau.

Sementara itu, SPR turut menyeru bakal calon PRK Kuala Terengganu agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang bagi memudahkan proses penamaan calon selain digalakkan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal.

"Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar," katanya.