Isteri kini sangsi nak lepaskan suami berkonvoi motosikal

Tangkap layar perbuatan memeluk bahu dan pinggang antara pelanggan lelaki dan wanita di sebuah kedai makan yang tular dalam media sosial.
Tangkap layar perbuatan memeluk bahu dan pinggang antara pelanggan lelaki dan wanita di sebuah kedai makan yang tular dalam media sosial.
A
A
A

BETULLAH orang kata, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Kerana tindakan gatal dan tidak senonoh sekumpulan individu, semua pencinta jentera dua roda dipukul rata, lagi-lagi yang sudah beristeri.

Itulah keluhan rakan Merak Jalanan sewaktu bersama-sama minum kopi panas dan makan sepinggan ubi rebus di warung Mak Jan di penghujung Kampung Simpang Empat, Hutan Melintang.

Mula-mula Merak Jalanan tidak faham apa yang dimaksudkan tetapi selepas ditunjukkan video yang tular itu, Merak Jalanan mengucap panjang.

Video tersebut memaparkan aksi tidak sopan pelanggan lelaki iaitu peserta konvoi bermotosikal dengan seorang pelayan wanita di sebuah restoran di Setiu, Terengganu.

Wanita itu pula yang berpakaian ketat hanya membiarkan tindakan lelaki-lelaki gatal berkenaan.

Video itu mengundang kecaman orang ramai sehingga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) memaklumkan akan menjalankan siasatan lanjut.

Rakan Merak Jalanan beritahu, bukan kisah itu yang hendak dibicarakan tetapi kisah isterinya yang lebih pantas bertindak, menarik semula kebenaran untuk dirinya berkonvoi bersama geng motosikal ke Terengganu selepas Aidiladha nanti.

Katanya, si isteri berasa tidak senang hati selepas tular video tersebut, ditambah pula ada berita di sebuah portal yang mengatakan penduduk di kawasan berkenaan mendakwa kedai minum itu jadi ‘port’ lelaki gatal melepak.

Jadi katanya, dia terpaksa akur dan paling tidak pun, lokasi berkonvoi perlu diubah untuk mendapat kembali kebenaran atau bawa anak dan isteri bersama. Sungguh kecewa raut wajah sahabat Merak Jalanan.

Jadi, kepada golongan suami yang tegar dengan jentera dua tayar, jagalah kelakuan supaya tindakan anda tidak menyusahkan penunggang-penunggang motosikal yang lain.