Hadkan eksport syarikat minyak kelapa sawit

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengehadkan eksport syarikat minyak kelapa sawit yang mempunyai keuntungan besar dan memperuntukkan sekurang-kurangnya sehingga 15 peratus daripada hasil pengeluaran bagi keperluan tempatan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengambil contoh sebuah syarikat yang menurutnya mencapai keuntungan sebanyak RM2.26 bilion pada tahun lalu.

"Apakah tidak mungkin 10 peratus daripada pengeluaran diturunkan tetapi keuntungan (syarikat berkenaan akan) lebih rendah daripada keuntungan dicatat (itu) kalau disamakan dengan harga pasaran antarabangsa.

"Tetapi, apakah kepimpinan negara berani berdepan dengan syarikat-syarikat gergasi ini? Sebab itu di Parlimen saya pernah bertanya Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan menteri-menteri mewakili siapa?

"Mewakili rakyat bawahan, saudagar-saudagar atau korporat besar?," katanya menerusi sebuah rakaman video di Facebooknya pada Selasa.

Selain daripada itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyentuh mengenai harga ayam yang naik melambung tinggi dan sukar diperolehi sebelum ini.

"Agak aneh bila harga siling naik RM9.40, tidak lagi timbul masalah masalah ayam di pasaran. Sebab itu, kerajaan ini patut dipimpin oleh orang yang ada pendirian, berani, tidak tunduk kepada pedagang-pedagang dan penghisap darah," tegasnya.

Menurutnya, sekiranya kerajaan berani, langkah pertama yang harus dilakukan adalah dengan mencari sumber pengeluar ayam tersebut bagi melihat sama ada ia disorok atau tidak.

"Ini pernah saya lakukan melalui pengalaman saya dalam kerajaan dahulu. Apa yang kita lakukan? Bila kita adakan jawatankuasa, sebelum hari perayaan antara tugas pegawai kementerian adalah untuk menyemak kedudukan pengeluarannya, bukan pergi tekan peraih-peraih dan peniaga-peniaga kecil.

"Sebab itu saya katakan kita memilih pimpinan politik yang cakap berdegar-degar tetapi tidak berani menghadapi masalah bila menyentuh pedagang-pedagang kaya," ujarnya.