Anggota PGA didakwa minta, terima rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SANDAKAN - Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan, masing-masing meminta dan menerima rasuah berkaitan urusan pengeluaran kad pengenalan kira-kira enam tahun lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Faridun Kasim, 42, iaitu Koperal Risik PGA Batalion 20 Beluran ketika kejadian, didakwa meminta RM4,000 sebagai upah daripada Nurbani Lazim, 57, di Bandar Sandakan pada Jun 2016, bagi menguruskan kad pengenalannya di Jabatan Pendaftaran Negara.

Manakala pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menerima suapan daripada Ismail Matarsad, 83, iaitu wang tunai berjumlah RM1,400 didakwa sebagai upah menguruskan pengeluaran kad pengenalan Nurbani, yang dimasukkan ke akaun simpanan bank milik tertuduh di Maybank Bhd Cawangan Sandakan pada 23 Dis 2016.

Pertuduhan pertama didakwa di bawah Seksyen 16 (a)(8) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan pertuduhan kedua di bawah Seksyen 17 (a) kedua-dua memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Abu Bakar Manat membenarkan ikat jamin RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan, dan menetapkan 29 Ogos depan untuk sebutan semula.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Rekhraj Jaswant Singh, manakala Faridun diwakili peguam Rowiena Rasid.

Sementara itu dalam mahkamah sama, bekas pengurus sebuah syarikat pengangkutan bas didenda RM10,000 atau tiga bulan penjara, kerana membuat tuntutan palsu bagi perkhidmatan sewaan pengangkutan bas sebuah institut latihan perindustrian di sini lebih tujuh tahun lepas.

Chaw Haw Fou, 35, yang kini bekerja sebagai ejen perumahan, mengaku bersalah di hadapan Abu Bakar setelah pertuduhan dibacakan kepadanya.

Chaw didakwa menggunakan suatu dokumen palsu sebagai tulen di Bahagian Kewangan, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Sandakan, Jabatan Tenaga Manusia (Kementerian Sumber Manusia), Batu 5, Jalan Sibuga, di sini pada 3 Dis 2014.

Kesalahan itu membabitkan invois, iaitu dokumen palsu yang dikemukakan sebagai tulen, bertarikh 26 Nov 2014 yang bernilai RM11,200 berkenaan perkhidmatan sewaan pengangkutan bas bagi Program Lawatan Benchmark SS untuk kakitangan ILP Sandakan.

Kesalahan di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Rekhraj Jaswant turut mengendalikan pendakwaan kes ini dan Chaw, yang diwakili peguam Sylyester Kuan, membayar denda itu. - Bernama