Kerajaan tubuh Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Satu Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan bagi membantu rakyat menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas yang dipengerusikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa itu berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada kementerian, agensi dan orang ramai.

"Ia bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, pasukan khas itu akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis.

"Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berlangsung bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau berkata, langkah tersebut dibuat berikutan cabaran peningkatan kos sara hidup akibat daripada perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik antara Russia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan serta bahan api.

Selain Annuar, pasukan khas ini dianggotai oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Ismail Sabri berkata, pegawai khusus di setiap kementerian akan dilantik sebagai pegawai rujukan untuk memberi maklum balas segera kepada Pasukan Khas yang diurusetiakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat daripada kenaikan inflasi di seluruh dunia," katanya.