Tapak sejarah gajah 'serang' kereta api kini terbiar

Tapak pelanggaran kereta api dengan gajah di Sungai Kerawai kini terbiar dan wajar dimajukan serta dipelihara segera.
Tapak pelanggaran kereta api dengan gajah di Sungai Kerawai kini terbiar dan wajar dimajukan serta dipelihara segera.
A
A
A

TELUK INTAN - Tapak pelanggaran kereta api dengan gajah di Sungai Kerawai dekat sini yang merekodkan peristiwa bersejarah pada 1894 kini dalam keadaan terbiar.

Memorial yang dibina sebagai memperingati peristiwa serangan gajah hingga mengakibatkan kerosakan dan kematian itu dipenuhi semak.

Tinjauan mendapati, laluan masuk sejauh hampir 70 meter ke tapak memorial dipenuhi tumbuhan dan pokok hutan.

Malah, sebahagian binaan memorial berkenaan turut diancam hakisan tanah antaranya disebabkan faktor cuaca dan pembangunan sekeliling.

Seorang penduduk, S Marimuthu, 71, berkata, sekitar tahun 90-an, kawasan berkenaan masih lagi terpelihara menerusi kerja-kerja pembersihan yang dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, bagaimanapun selari dengan pembangunan, secara perlahan-lahan lokasi bersejarah yang menjadi kebanggaan warga Teluk Intan itu semakin terbiar tanpa penyelenggaraan.

"Saya ingat beberapa tahun lalu ada gotong-royong melibatkan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) bersama PBT dan penduduk kampung.

"Sekarang dah tak ada siapa nak tengok, sebab itu kawasan sekeliling jadi semak, laluan masuk sudah tak nampak jalan, macam mana orang nak datang," katanya.

Saiful Rezal Mohd Razali yang juga merupakan Ahli Persatuan Warisan Teluk Intan pula berkata, sekiranya keadaan itu terus terbiar, tidak mustahil lokasi peristiwa sejarah negara itu semakin dilupakan dan hilang dari tumpuan pelancong.

Saiful Rezal
Saiful Rezal

Menurutnya, sebelum ini kawasan itu menjadi tumpuan ramai terutama kalangan pengkaji dan pencinta sejarah serta pelajar universiti.

"Sedih tengok keadaan sekarang, semakin hilang seri sedangkan di sinilah berlaku satu-satunya peristiwa hitam amukan gajah di laluan kereta api ketika itu.

"Tapak bersejarah ini wajar dimajukan dan dipelihara kerana ia bukan sekadar satu warisan, tetapi berlaku catatan penting dalam sejarah kereta api negara yang kita tahu banyak menyumbang kepada pembangunan khususnya di Teluk Anson," katanya.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pencinta Sejarah Masyarakat Perak (Semarak), Iskandar Zulqarnain Zaheruddin berkata, sebelum ini, terdapat cadangan agar tapak memorial itu diwartakan sebagai tapak warisan negara bagi memelihara dari sebarang ancaman kerosakan dan kemusnahan.

Katanya, pada 2017 lalu, tapak peringatan berkenaan dilihat berada dalam keadaan uzur sebelum satu usaha membersih dan mengecat semula dilakukan, termasuk memperbaiki semula huruf yang sudah hilang.

"Kemudian diadakan pula gotong royong bersama penduduk tempatan bagi membersihkan kawasan papan tanda ini dan menyediakan akses bagi memudahkan orang ramai mengunjungi kawasan ini.

"Namun malangnya tidak dapat diselenggara secara berkala kerana pihak kami ada kekangan dari segi kewangan.

"Jadi, saya percaya, jika digazetkan kawasan tersebut sebagai tapak warisan negara, kawasan sejarah ini akan dapat perlindungan yang sewajarnya," katanya.

Laluan masuk ke tapak memorial yang semak dan tidak diselenggara.
Laluan masuk ke tapak memorial yang semak dan tidak diselenggara.

Peristiwa serangan gajah di Teluk Intan berlaku pada 17 September 1894 ketika kereta api wap yang membawa tiga gerabak penumpang kebanyakannya terdiri daripada saudagar serta tauke lombong yang baru pulang meninjau beberapa lokasi perlombongan di Perak.

Sebaik sahaja tiba di Teluk Anson yang kini dikenali sebagai Teluk Intan, kereta api yang dipandu seorang warga Inggeris itu diserang sekawan gajah jantan yang sememangnya menunggu di situ lalu merempuhnya secara berdepan.

Akibat rempuhan, seekor gajah jantan mati di tempat kejadian dan seorang pemandu kereta api turut terkorban.

Kejadian antara jam 5 hingga 7 malam itu, dikatakan berlaku kerana anak gajah tersebut pernah dilanggar kereta api di kawasan sama.

Berita mengenai insiden itu tersebar ke London sehingga pihak kolonial mendirikan sebuah memorial di tapak tersebut sebagai mengenang keberanian gajah dan peristiwa yang tidak pernah berlaku sejak kereta api diperkenalkan di negara ini.

Tertera di memorial itu "There Is Buried Here A Wild Elephant Who In Defence of His Hero Charged and Derailed A Train on the 17th Day of September 1894".

Tengkorak kepala gajah jantan itu kini disimpan di Muzium Taiping, Perak dan tulang pahanya disimpan di Muzium Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) manakala gadingnya difahamkan telah dibawa ke England.