Sila log masuk terlebih dahulu.

MPAJ keluar 62 notis ubah suai rumah flat tanpa kebenaran

Notis yang dikeluarkan MPAJ terhadap pemilik unit yang melakukan ubah suai dan membina struktur tambahan tanpa kebenaran di Flat PKNS AU3, Taman Keramat.
Notis yang dikeluarkan MPAJ terhadap pemilik unit yang melakukan ubah suai dan membina struktur tambahan tanpa kebenaran di Flat PKNS AU3, Taman Keramat.
A
A
A

AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah mengeluarkan 62 notis terhadap pemilik unit yang melakukan ubah suai dan membina struktur tambahan tanpa kebenaran di Flat PKNS AU3, Taman Keramat di sini.

Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, Notis 72(1) Akta Jalan, Parit & Bangunan (Akta 133) dikeluarkan oleh Jabatan Bangunan dan Senibina serta Jabatan Penguat Kuasa MPAJ menerusi rondaan dan pemantauan yang dijalankan pada 1 Jun lalu.

Menurutnya, ubah suai dan tambahan struktur itu juga melanggar syarat hak milik bersama Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan syarat tanah hak negeri.

"Kesemua unit berkenaan perlu membuka struktur tambahan yang telah dibina dalam masa yang ditetapkan dan kos adalah atas tanggungan pemilik sepenuhnya, sebelum tindakan lanjut akan diambil oleh pihak MPAJ," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan notis tersebut adalah susulan tindakan penguatkuasaan terhadap isu meroboh binaan struktur tambahan sebuah unit kawasan flat sama yang turut dikenali Flat UTM AU3 pada 25 Mei lalu yang tular di media sosial.

Laporan Sinar Harian pada 31 Mei lalu.
Laporan Sinar Harian pada 31 Mei lalu.

Tambahnya, notis telah dikeluarkan terhadap 58 unit di tingkat bawah dan empat unit di tingkat satu atas kesalahan penambahan struktur dinding kekal, memasang awning serta pagar dan binaan tempat letak kereta di atas tanah kerajaan.

"MPAJ ingin menegaskan bahawa tindakan mengubah suai struktur sedia ada atau menambah struktur binaan di bahagian tepi dan belakang kediaman berstrata seperti flat, pangsapuri dan kondominium adalah satu kesalahan dan tidak dibenarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu memetik laporan The Star, Ahli Majlis MPAJ, Anfaal Saari berkata, kira-kira 100 penduduk telah meminta surat sokongan daripadanya untuk memohon penangguhan penguatkuasaan tersebut.

Katanya, antara alasan aktiviti ubah suai itu disebabkan keluasan unit dua bilik yang dibina pada tahun 1980-an itu sempit.

Tambahnya, rayuan daripada penduduk tersebut akan dipanjangkan kepada MPAJ untuk pertimbangan.