Peraturan baharu punca jumlah pemandu e-hailing merosot

Wan Agyl ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-353 bertajuk E-Hailing: Harga Naik, Kenapa dan Ada Solusi Ke? di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
Wan Agyl ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-353 bertajuk E-Hailing: Harga Naik, Kenapa dan Ada Solusi Ke? di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelaksanaan peraturan baharu terhadap pemandu perkhidmatan e-hailing didakwa menjadi antara punca utama menyebabkan kemerosotan jumlah pekerja dalam industri berkenaan sehingga menyebabkan berlaku peningkatan harga yang membebankan pengguna.

Bekas Ketua Bahagian Polisi dan Perancangan, Kumpulan Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Wan Agyl Wan Hassan berkata, semasa tempoh awal industri itu beroperasi pada tahun 2015, jumlah pemandu perkhidmatan tersebut dianggarkan mencecah 400,000 orang.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah tersebut telah berkurangan melebihi separuh kepada sekitar 100,000 pemandu susulan daripada pengenalan kawal selia baharu diperkenalkan kerajaan pada tahun 2019.

Antara peraturan baharu tersebut adalah mewajibkan pengambilan kursus dan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV).

“Bila kita kawal selia industri e-hailing, penawaran berkurangan sehingga antara 100,000 hingga 120,000 pemandu. Jadi harga memang akan naik,” katanya ketika menjadi panelis pada Wacana Sinar Edisi Ke-353 bertajuk E-Hailing: Harga Naik, Kenapa dan Ada Solusi Ke?

Hadir sama dalam wacana yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Jumaat ialah Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma dan wakil pemandu, Mohd Dzarikashpi Nor.

Mengulas lanjut, Wan Agyl berkata, harga perkhidmatan tersebut sememangnya tidak dikawal oleh kerajaan kerana ia bergantung kepada prinsip penawaran dan permintaan pengguna.

Katanya, harga perkhidmatan e-hailing di dalam negara pernah berada pada kadar berpatutan semasa tempoh pandemik ekoran daripada peralihan pekerja daripada sektor terjejas ke industri e-hailing.

Bagaimanapun, beliau berkata, jumlah penawaran pemandu dianggarkan kembali merosot sehingga antara 60,000 ke 70,000 pemandu selepas negara kembali ke fasa endemik kerana kebanyakan pemandu telah kembali ke sektor pekerjaan asal masing-masing.

Dalam pada itu, Wan Agyl berkata, peraturan ditetapkan kerajaan ketika ini dilihat tidak menggalakkan penyertaan pemandu e-hailing baharu yang sebahagian besarnya mahu menjadikan pekerjaan tersebut sebagai profesion sambilan.

“E-hailing pada awalnya adalah platform untuk ekonomi gig. Ia adalah untuk pekerjaan sambilan sahaja. Ada masa, kereta dan lesen, anda boleh bawa tapi sekarang ini dia dah ada sepenuh masa dan sambilan.

“Bila kita tengok, untuk yang sepenuh masa, mereka boleh lalui perkara (peraturan) itu tapi apa yang berlaku pada pekerja sambilan? Mereka rasa susah nak masuk industri ini sebab kena ambil PSV.

“Kemudian kena ambil kursus sehari di institut memandu selama enam jam. Selepas itu kena bawa kereta pergi Perkhidmatan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Jadi benda ini leceh kepada mereka,” ujarnya.

Wan Agyl berkata, isu tersebut bagaimanapun tidak bermaksud kerajaan tidak patut melaksanakan sebarang undang-undang tetapi sebaliknya perlu mencari kaedah untuk memudahkan proses tersebut.

“Kerajaan perlu ambil peluang ini untuk memudahkan cara proses kemasukan pemandu e-hailing yang sangat dinamik ini. Bila proses itu 'rigid' sangat, tidak ada siapa yang nak masuk,” jelas beliau.