X

Kindly register in order to view this article
!

Penyewa PPR seleweng, kaut untung atas angin

A
A

KUALA LUMPUR - Surau Jumaat PPR Taman Wahyu di sini dipenuhi warga asing, menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk setempat, sama ada mereka tinggal di perumahan itu.

Ketika tinjauan Sinar Harian di situ, ada penduduk mengakui beberapa unit di blok B dan C dihuni warga asing. Ahmad yang menetap di situ hampir 10 tahun berkata, isu itu pernah dipanjangkan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), namun tiada tindakan diambil.

"Saya beberapa kali terserempak dengan warga asing ini yang tak banyak masa mereka di rumah kerana keluar bekerja pada waktu pagi dan pulang pada malam.

"Mungkin majikan mereka tempatkan di sini sebagai hostel pekerja. Tapi undang-undang DBKL menetapkan tak boleh sewakan unit kepada pihak ketiga apatah lagi warga asing," katanya.

Sementara itu, Ani pula memaklumkan, sememangnya terdapat warga asing tinggal di kawasan itu, cuma kini tidak seramai dahulu.

"Susah nak cakap sebab kawasan ini sebelah dengan tapak pembinaan jadi memang ada warga asing yang melalui sini tapi tak pasti dia tinggal di sini atau sebaliknya.

"Jika dulu memang ada kes warga asing duduk di PPR ini tapi sekarang tak banyak sebab DBKL pantau dan ambil tindakan tegas buat pemeriksaan dua atau tiga kali setahun," katanya.

Suri rumah, Noridayu Idrais, 31, berharap DBKL terus buat pemantauan secara berkala bagi memastikan tiada unit disewakan kepada warga asing.

"Penyewa tak berani ambil kesempatan sebab bimbang unit mereka disita. Pegawai DBKL pula biasanya akan membuat pemeriksaan pada waktu malam sewaktu semua penghuni sudah berada di rumah.

"Setakat ini saya tak ada pula lihat warga asing tinggal di sini kerana saya juga kebanyakan masa dalam rumah. Mungkin ada cuma tak banyak," katanya.

Mengulas mengenai isu itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) PPR Taman Wahyu, Suhaimi Subramaniam Abdullah berkata, dia menjawat jawatan itu enam bulan lalu dan skop tugasnya setakat ini terhad.

"Jika ada aduan wujud warga asing di sini, saya akan periksa dan jika benar dakwaan itu saya akan panjangkan kepada DBKL untuk tindakan penguatkuasaan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kaut untung atas angin

Isu seleweng PPR Lembah Subang bukan baharu

Tunggakan sewa PPR cecah RM25,250


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!