X

Kindly register in order to view this article
!

Isu seleweng PPR Lembah Subang bukan baharu

Penduduk mendakwa masih terdapat unit di PPR Lembah Subang disewakan kepada warga asing.
A
A

PETALING JAYA - Isu penyelewengan unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang bukannya perkara baharu memandangkan kegiatan itu dikesan sejak beberapa tahun lalu.

Walaupun penghuni di PPR ini hanya dikenakan bayaran sewaan RM124 sebulan, namun ada pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menyewakan unit kediaman mereka kepada warga asing dengan kadar lebih tinggi hingga cecah RM800 sebulan.

Penduduk, Sulaiman Darus, 56, berkata, tindakan segelintir pihak menyewakan unit kediaman mereka kepada warga asing tidak wajar kerana ramai lagi penghuni lain yang berhak menetap di situ.

"Masalah ini dah lama, dan di PPR Lembah Subang ini sahaja boleh dikatakan semua lapan blok ada unit didiami warga asing.

"Ini memang satu tindakan tak bertanggungjawab kerana pihak yang menyewakan ini cuba untuk ambil kesempatan kaut keuntungan dengan mudah malah mereka juga menetap di kawasan lain," katanya.

Sulaiman berkata, unit kediaman PPR disediakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat tempatan berpendapatan rendah dan ia tidak sewajarnya diseleweng demi kepentingan pihak tertentu.

Dia berkata, tindakan untuk menyewakan unit PPR kepada warga asing dilihat menafikan hak penduduk tempatan yang lebih layak mendudukinya.

Selain unit PPR, terdapat lot kedai yang turut disewakan kepada warga asing.
Selain unit PPR, terdapat lot kedai yang turut disewakan kepada warga asing.

"Selain unit PPR, terdapat juga kedai-kedai runcit di sini yang disewakan kepada warga asing," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Blok E Lembah Subang, Mohd Azmi Yaacob berkata, sebelum ini, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan proses pemutihan di PPR Lembah Subang dalam usaha mengenal pasti unit kediaman kosong dan disewakan kepada warga asing.

Bagaimanapun katanya, selepas pertukaran kerajaan, tiada kesinambungan bagi usaha itu, menyebabkan isu ini kembali membelenggu masyarakat setempat.

"Menerusi bancian dibuat sebelum ini, di blok E terdapat 304 unit kediaman namun hanya 190 unit sahaja berdaftar dengan KPKT, manakala selebihnya adalah unit kosong dan sebahagian lagi diceroboh.

"Jika berdasarkan situasi sekarang, saya rasa lebih banyak unit kediaman yang diceroboh," katanya.

Selain itu, Mohd Azmi turut mencadangkan supaya KPKT menyerahkan bidang penguatkuasaan PPR Lembah Subang kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membolehkan tindakan diambil terhadap unit kediaman yang diseleweng.

Katanya, KPKT juga perlu meneruskan kesinambungan proses pemutihan dilaksanakan sebelum ini bagi mengusir saki baki warga asing yang menetap di PPR.

"Saya cadangkan MBPJ ambil alih penguatkuasaan sebab mereka ada unit lengkap untuk ambil tindakan. Jika proses pemutihan diteruskan, pastinya masalah unit kediaman diseleweng dapat diatasi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus