Akta Pendanaan Politik: Lengkapkan dulu sebelum bentang

Mahdzir
Mahdzir
A
A
A

KUALA NERANG - Akta Pendanaan Politik perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum dibentangkan kepada kerajaan atau dibawa ke peringkat lebih tinggi seperti Parlimen.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persediaan akta terbabit sama seperti Akta Lompat Parti sebelum ini yang perlu melalui beberapa proses bagi melengkapkan akta berkenaan.

Menurutnya, sehubungan itu gesaan beberapa pihak yang mahu Akta Pendanaan Politik disegerakan memandangkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin hampir adalah tidak relevan selagi akta terbabit masih di peringkat penyediaan.

“Kalau akta tersebut sudah ada dan lengkap, sudah tentu ia boleh dibentangkan. Sama seperti Akta Lompat Parti, kenalah siapkan dahulu.

“Ini kerana jawatankuasa yang terlibat perlu duduk dan bincang terdiri dalam kalangan mereka yang pakar dalam guaman, selepas itu drafkan butiran akta, kemudian barulah boleh bentang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Syed Ahmad di sini pada Isnin.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, kedua-duanya merupakan antara Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, September tahun lalu untuk mengembalikan kestabilan politik bagi menangani wabak Covid-19 selain memulihkan ekonomi negara.

“Saya percaya ia telah pun dibincangkan. Mungkin sehingga ke hari ini belum dibentangkan kepada kerajaan.

“Ramai pihak telah meminta agar Akta Pendanaan Politik ini dibawa ke Parlimen. Jadi sekarang dalam proses penyediaan draf dan apabila siap barangkali dibawa untuk bentang kepada kerajaan dan kemudian ke peringkat Parlimen,” katanya lagi.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mencadangkan agar satu jawatankuasa peringkat Parlimen dibentuk bagi membolehkan draf Akta Pendanaan Politik segera dibentangkan.

Beliau berkata, draf berkenaan perlu segera dibentangkan supaya individu yang memberikan dana politik tidak berasa khuatir, manakala penerima tidak dizalimi.

Ahmad Maslan turut memaklumkan bahawa akta seperti itu sudah lama diguna pakai di negara barat agar ahli politik atau mana-mana individu tidak menjadi mangsa kerana menerima atau memberi dana kepada parti politik.