DBKL rancang perluas mesin automatik kitar semula

Mahadi merasmikan mesin automatik bagi barang kitar semula 'Recycling Reverse Vending Machine' (RRVM) berhadapan bangunan Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut pada Ahad. - Foto Bernama
Mahadi merasmikan mesin automatik bagi barang kitar semula 'Recycling Reverse Vending Machine' (RRVM) berhadapan bangunan Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang untuk memperluaskan penggunaan mesin automatik bagi barangan kitar semula Recyling Reverse Vending Machine (RRVM) di kawasan tumpuan orang ramai di sekitar ibu kota dalam masa terdekat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, buat permulaan seunit mesin automatik kitar semula diletakkan di hentian bas berhadapan Menara DBKL 2, Jalan Raja Laut di sini sebagai projek perintis selama tiga bulan bagi melihat kesesuaian dan keberkesanan penggunaannya.

"Sekiranya menerima maklum balas positif, DBKL akan melaksanakannya secara meluas dengan meletakkan di tempat popular seperti di laluan utama orang ramai mendapatkan kemudahan pengangkutan awam dan tempat yang sentiasa dikunjungi seperti di Pintasan Saloma dan Dataran Merdeka.

"Sampah kecil seperti botol plastik, kertas, tin aluminium yang dibawa bersama boleh dimasukkan ke dalam mesin automatik kitar semula dan setiap barang dikitar semula mendapat ganjaran sebanyak lima sen yang akan dimasukkan ke akaun bank pengguna,” katanya selepas melancarkan mesin berkenaan pada Ahad.

Mahadi berkata, mesin automatik kitar semula yang dilaksanakan bersama DBKL dan syarikat Orie Engineering Sdn Bhd itu berkapasiti 220 liter dan berharap kemudahan pintar itu dapat dimanfaatkan oleh warga kota ke arah menangani pembuangan sampah secara haram.

Dalam perkembangan lain mengenai laporan peniaga Pasar Dato Keramat yang mendakwa kegagalan pemaju dilantik DBKL untuk membangunkan semula pasar berkenaan selepas lebih lima tahun, Mahadi berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL untuk memberi keutamaan melihat semula supaya pembangunan dapat disegerakan.

"Saya juga perlu menyemak dengan betul-betul punca kelewatan pembangunan semula Pasar Dato Keramat yang tidak dapat dilakukan seperti dirancang kerana ia melibatkan perjanjian dengan pihak ketiga,” katanya.

Pada awal pagi 11 Jun lalu, Pasar Dato Keramat (pasar lama) melibatkan gerai menjual pakaian terpakai di Jalan Keramat Dalam di sini, terbakar sekali lagi selepas insiden sama pada Mac tahun lepas.

Sebelum itu pada Mac, Pengarah projek Sinotech Properties Development Sdn Bhd yang juga pemaju Mohd Zaili Mohd Zainordin ketika ditemu ramah dilaporkan berkata, pembangunan semula Pasar Dato Keramat dijangka bermula seawal 2024 secara berfasa.

Beliau berkata, mengikut perancangan, tapak Perumahan Awam (PA) Perlis Satu bersebelahan Pasar Dato Keramat lama akan dibangunkan dengan Pasar Dato Keramat moden dan dilengkapi kemudahan parkir bertingkat selain ruang untuk pasar basah, kering yang boleh menempatkan 333 peniaga.

"Tapak asal Pasar Dato Keramat pula akan dimajukan dengan pangsapuri servis yang mempunyai 1,200 unit kediaman dan keseluruhan projek berkenaan mengambil masa lima hingga tujuh tahun," katanya. - Bernama