Pengusaha ternakan kupang terjejas di Port Dickson terima bantuan

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) menyaksikan penyerahan mockup cek dari Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Hamdan Mamat (dua, kiri) kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang Md IIsa Johar (kanan) pada Penyerahan Bantuan. Foto: Bernama
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (tengah) menyaksikan penyerahan mockup cek dari Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Hamdan Mamat (dua, kiri) kepada Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang Md IIsa Johar (kanan) pada Penyerahan Bantuan. Foto: Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Seramai 85 nelayan dan penternak kupang di perairan Port Dickson yang terjejas susulan kes pencemaran biotoksin yang berlaku telah menerima agihan bantuan berjumlah RM34,500.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bantuan berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban mereka sepanjang tidak dapat menuai hasil ternakan kupang.

"Seramai 45 nelayan dan penternak dari Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang menerima bantuan wang tunai RM500 seorang daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM) membabitkan nilai keseluruhan RM22,500.

"Pejabat Ahli Parlimen Port Dickson pula memberi bantuan RM300 seorang kepada 40 penternak yang bukan ahli persatuan nelayan dengan nilai keseluruhan bantuan sebanyak 12,000," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan di Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Bertindak Warisan, Teknologi Inovasi dan Digital Negeri, Datuk Mohd Faizal Ramli, Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Hamdan Mamat dan Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah.

Menurutnya, untuk rekod, nelayan biasanya meraih keuntungan yang lebih pada musim perayaan kerana mendapat permintaan tinggi daripada penggemar kupang.

Tambahnya, seorang penternak sekurang-kurangnya mampu menjual 150 hingga 200 kilogram (kg) jualan kupang dengan nilai antara RM1,200 ke RM1,000.

"Jadi apa yang berlaku ini merupakan kerugian terbesar pernah dialami dalam tempoh enam tahun. Biasalah, kita lihat yang bakteria itu akan aktif pada masa tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Kita harapkan dalam tempoh terdekat ini kandungan biotoksin yang ada akan terus menurun dan penternak kupang akan boleh mulakan penjualan semula," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, kerajaan negeri dan LKIM akan sentiasa membantu meringankan beban yang ditanggung golongan nelayan seterusnya memastikan kebajikan mereka terjaga selain memastikan bekalan makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan.

Ujarnya, agensi kerajaan perlu lebih proaktif mengenal pasti setiap permasalahan nelayan terutama yang berdaftar.

"Kita perlu kemas kini data para nelayan di setiap lokasi perairan negeri agar segala insentif dan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Kita tidak boleh menjangka sebarang bencana yang akan berlaku pada masa hadapan. Tetapi kita boleh bersiap sedia lebih awal," katanya.


Pengusaha ternakan kupang disaran daftar lesen

PORT DICKSON - Pengusaha ternakan kupang di perairan Port Dickson disaran membuat pendaftaran lesen bagi memudahkan penilaian dibuat sekiranya mereka berdepan apa-apa isu seperti kes keracunan kupang.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, ini kerana beliau mendapati masih ramai yang tidak berdaftar.

"Kita risau jika berlakunya sesuatu isu misalnya seperti kes keracunan kupang ini, ia sukar untuk dinilai tapi kita bagilah sumbangan kecil, cumanya jika mereka berdaftar, mungkin kadar bantuan diterima lebih tinggi.

“Pendaftaran bertujuan menyelaraskan bantuan kepada golongan yang berhak menerima kemudahan seperti nelayan lain dan mereka akan dikenakan sedikit yuran," katanya ditemui pemberita selepas majlis penyerahan bantuan di Persatuan Nelayan Kawasan Teluk Kemang di sini pada Khamis.

Jelasnya, kadar yuran dikenakan berdasarkan jumlah pancang kupang dan kadar minimum ialah RM30.

Dalam pada itu beliau berkata, sampel kelapan kupang telah diambil pada 14 Mei lepas untuk dianalisis dan jangkaan keputusan makmal diketahui pada Sabtu ini.

"Pada 6 Mei lalu, Pejabat Perikanan Negeri Sembilan telah mengambil sampel kali ketujuh untuk ujian makmal dan hasil analisis makmal masih menunjukkan kandungan biotoksin yang tinggi iaitu 935 per bilion (ppb) dan tidak selamat dimakan.

"Kadar dibenarkan ialah bawah 800ppb dan jika keputusan pada Sabtu ini menunjukkan indikator bawah 800ppb, kita jangkakan pertengahan bulan enam ini kupang di Port Dickson boleh dijual dan dimakan semula," katanya.

Tambahnya, jika keputusan terus menunjukkan penurunan sekali pun, pemantauan berterusan akan tetap dilakukan bagi memastikan ia tidak berulang.

Jelasnya, keadaan cuaca yang hujan sejak kebelakangan ini mungkin menjadi faktor penurunan kadar biotoksin pada kupang terbabit.

"Setiap kali bacaan diambil, ia makin menurun. Ketika sampel keenam diambil bacaannya mencecah sehingga 3,000ppb, tapi sekarang terus menurun," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!