KASA pantau perlombongan lantanid di Perak

Tuan Ibrahim (tengah) menerima cenderahati daripada Md Nasir selepas merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Ke-30 Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia di Hotel Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di Ipoh pada Selasa.
Tuan Ibrahim (tengah) menerima cenderahati daripada Md Nasir selepas merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Ke-30 Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia di Hotel Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di Ipoh pada Selasa.
A
A
A

IPOH - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan terus memantau kegiatan perlombongan nadir bumi lantanid yang mahu dilaksanakan di kawasan Hulu Perak.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, walaupun projek rintis bagi perlombongan itu sudah mendapat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA), ia masih perlu dilakukan pengawasan.

Jelas beliau, sebarang projek yang memberikan kesan kepada alam sekitar perlu dijalankan mengikut peraturan ditetapkan walaupun ia memenuhi syarat.

"Apabila mereka mohon dan mematuhi syarat-syarat EIA, mereka dapat kelulusan. Tetapi walaupun EIA lulus, selepas projek itu dilaksanakan kita terus pantau, bukan lulus terus boleh buat kerja ini.

"Sebenarnya perlombongan memerlukan pematuhan peraturan, itu yang paling penting," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah Ke-30 Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia di Hotel Casuarina@Meru, Bandar Meru Raya di sini pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembentungan) KASA, Dr Ching Thoo a/l Kim dan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Datuk Ir Dr Md Nasir Md Noh.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengalu-alukan sebarang aduan orang ramai mengenai isu pencemaran yang berlaku di kawasan masing-masing.

Beliau setakat ini berpuas hati dengan tindakan proaktif yang dilakukan Jabatan Alam Sekitar dalam menangani aduan diterima berkaitan pencemaran.

"Kita dapat respon sangat positif. Apabila ada pencemaran, orang awam kita sangat ambil berat, sangat puas hati. Pagi kita dapat (aduan), kita akan hantar kepada pengarah.

"Mereka akan terus bertindak segera sebab sebarang tindakan perundangan mesti dapat dibuktikan pada waktu kejadian. Apabila petang, kita akan dapat laporan yang lengkap," katanya.

Pada 23 Mei lalu, Saarani mengesahkan penemuan mineral baharu iaitu lantanid di kawasan Hulu Perak selain bijih timah.

Beliau berkata, penemuan tersebut diperoleh ketika kerja-kerja mengekstrak bijih timah di kawasan tersebut yang dikenal pasti cukup bernilai.

Bagaimanapun, beberapa pihak membantah usaha melombong tersebut kerana dibimbangi akan memberi kesan kepada alam sekitar.