Polis Pahang pantau pusat tahfiz tidak berdaftar

Mohd Zakaria ketika pelepasan Program Kembara Komuniti Ketua Polis Pahang ke Port Dickson 2019 di Alor Akar, hari ini.
Mohd Zakaria ketika pelepasan Program Kembara Komuniti Ketua Polis Pahang ke Port Dickson 2019 di Alor Akar, hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Polis Pahang sentiasa memantau semua pusat tahfiz dan pengajian agama terutamanya yang tidak berdaftar di negeri ini bagi mengelak kejadian dera dari terus berulang.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad, berkata, pengawasan itu sudah diambil dengan menugaskan pegawai dan anggotanya dengan melakukan lawatan ke atas pusat tahfiz bagi memastikan tiada sebarang kejadian jenayah yang berlaku.

Menurutnya, langkah terbabit dibuat bagi memastikan ibu bapa termasuk anak-anak yang belajar di pusat tahfiz tidak diperlakukan seperti yang terjadi minggu lalu.

“Jadi ibu bapa dan pelajar tidak perlu takut dengan pengurusan (Pusat Tahfiz) jika berlakunya salah laku seperti dera dan lain-lain terhadap mereka (pelajar). Mereka boleh membuat laporan polis.

“Kita akan menyiasat dan mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut garis undang-undang yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pelepasan Kembara Komuniti Ketua Polis Pahang sempena peringatan Hari Polis ke-212 di Kompleks Logistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alor Akar, hari ini.

Minggu lalu, 19 pelajar di sebuah madrasah di Jaya Gading di sini, didakwa dirotan, dicubit, ditampar dan dimaki hamun sejak beberapa minggu lalu oleh seorang tenaga pengajar di pusat tahfiz itu sebelum laporan polis dibuat.

Kejadian itu menyebabkan beberapa mangsa mengalami kecederaan fizikal pada anggota badan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Zakaria berkata, pihaknya sedang melengkapkan siasatan kes terbabit selain sedang menunggu laporan perubatan dikeluarkan hospital.

“Buat masa ini belum ada tangkapan dibuat dan kita masih mengesan suspek. Keterangan pelajar, ibu bapa dan pihak pengurusan pusat tahfiz itu sudah diambil bagi membantu siasatan.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bagi memastikan tidak berlaku penganiayaan dan salah laku ke atas murid dan pelajar pusat tahfiz di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, program kembara bermotosikal di kendalikan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang (IPK) yang disertai 150 pegawai dan anggotanya termasuk Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Datuk Mohd Yusri Hassan Basri, ketua jabatan dan ketua polis daerah di Pahang.

“Kembara selama tiga hari ini juga adalah program kemasyarakatan yang akan kita adakan di Bera dan Rompin.

“Kita akan berjumpa dengan masyarakat setempat dan mereka (penduduk) boleh bertanyakan permasalahan di kawasan mereka yang mungkin kita boleh bantu selesaikan,” katanya.