Pengasas pusat tahfiz, adik direman kes dera, amang seksual

Seorang suspek kelihatan ceria ketika diiring oleh anggota polis selain sempat memberikan beberapa tanda isyarat seperti 'okey dan bagus kepada pemberita. - Foto Astro Awani
Seorang suspek kelihatan ceria ketika diiring oleh anggota polis selain sempat memberikan beberapa tanda isyarat seperti 'okey dan bagus kepada pemberita. - Foto Astro Awani
A
A
A

AYER KEROH - Dua beradik pengasas dan warden sebuah pusat tahfiz terkenal di Melaka direman empat hari selepas dipercayai terlibat melakukan penderaan dan amang seksual fizikal terhadap enam pelajar lelaki.

Perintah reman bermula hari ini sehingga Selasa depan terhadap dua lelaki berusia 40 dan 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Nurul Bahiyah Kamaluddin.

Penahanan itu bagi membolehkan siasatan dilakukan polis mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang juga merupakan warga Singapura tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pada jam 9.35 pagi dengan memakai pakaian lokap berwarna jingga.

Seorang suspek kelihatan ceria ketika diiring oleh anggota polis selain sempat memberikan beberapa tanda isyarat seperti 'okey’ dan bagus kepada pemberita.

Semalam, Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah dilaporkan berkata, kejadian terkutuk itu terbongkar selepas pihak polis menerima laporan daripada enam mangsa berkenaan antara jam 6.29 hingga 9.13 malam Khamis lalu di Balai Polis Batang Tiga.

Siasatan awal mendapati semua kejadian itu dilaporkan berlaku di sebuah pusat bimbingan tahfiz di Tanjung Minyak dan juga Alor Gajah serta sebuah kondominium di Klebang, Melaka.

Dalam kes ini tiga orang pelajar telah dipaksa melakukan amang seksual oleh suspek berusia 40 tahun yang merupakan mudir pusat tahfiz berkenaan.

“Manakala tiga lagi pelajar telah didera secara fizikal dengan cara ditampar, ditumbuk, dipijak serta disebat dengan rotan oleh warden asrama yang juga adik kepada pengasas dan mudir pusat bimbingan itu,” katanya.

Mangsa juga dikatakan sering didera oleh warden asrama tersebut kerana lambat menyiapkan tugasan yang disuruh.

Pengasas pusat tahfiz berkenaan juga dikatakan pernah mempunyai rekod lampau atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal dan liwat pada tahun 2019 lalu manakala adiknya tiada sebarang rekod jenayah. - Awani