Sedia beri kerjasama bantu siasatan babitkan bekas KSN

Mohd Zuki
Mohd Zuki
A
A
A

ALOR SETAR - Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali bersedia memberikan kerjasama bagi membantu siasatan berhubung kes membabitkan bekas KSN, Tan Sri Mohd Sidek Hassan yang dikaitkan dengan penerimaan elaun RM30,000 sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohd Zuki berkata, butiran berkaitan pendedahan yang dibuat oleh Mohd Sidek pada Selasa lalu di mahkamah belum diteliti oleh pihaknya.

Menurut beliau, bagaimanapun isu berkenaan tidak wajar diulas secara lanjut susulan kes berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah.

“Kita mahu dapatkan butiran mengenai perkara itu terlebih dahulu, saya tak dapat lagi buat masa ini. Tambahan pula kes berkenaan telah disebut di mahkamah, jadi tak sesuai untuk saya ulas.

“Namun sekiranya ada apa-apa yang diperlukan oleh pihak-pihak berkaitan, kita akan tengok nantilah, insya-ALLAH,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan persidangan MyMudah 2022 peringkat negeri di sini pada Ahad.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Ammar Mahmood Naim.

Pada Selasa, Mohd Sidek mendedahkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa beliau menerima elaun sebanyak RM30,000 sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB bermula 1 Julai 2010 hingga 23 Jun 2012 semasa memegang jawatan sebagai KSN.

Menerusi keterangannya dalam kes perbicaraan rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Mohd Sidek memaklumkan tidak pernah terlibat dengan sebarang mesyuarat atau perbincangan mengenai isu melibatkan syarikat berkenaan.

Mohd Sidek turut memaklumkan, isu-isu berkaitan 1MDB hanya diketahuinya melalui media massa dan bacaan di internet selain mengetahui isu terbabit berkaitan dakwaan salah guna dana.

Saksi pendakwaan ke-19 itu beranggapan pelantikannya sebagai Ahli Lembaga Penasihat 1MDB hanyalah untuk menambah pendapatannya sebagai KSN yang dianggap tidak setimpal oleh Najib.