Bank Rakyat diminta sediakan dana khas bantu koperasi

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meminta Bank Rakyat menyediakan dana khas bagi membantu koperasi dan syarikat berasaskan sektor pertanian.
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meminta Bank Rakyat menyediakan dana khas bagi membantu koperasi dan syarikat berasaskan sektor pertanian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) meminta Bank Rakyat untuk menyediakan dana khas bagi membantu koperasi dan syarikat berasaskan sektor pertanian.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata, koperasi dan syarikat berasaskan sektor pertanian ini penting dan harus diberi keutamaan bagi membantu melancarkan rantaian agromakanan.

"KUSKOP mempunyai banyak koperasi yang terlibat dalam sektor pertanian, contohnya ternakan ayam, kementerian ada 15 koperasi yang menghasilkan 42 juta ekor ayam.

"Jadi kita mahu bantu...daripada 42 juta ekor ayam ini, kita mahu hasilkan 52 juta ekor ayam serta melakukan ‘contract farming’.

"Ia sejajar dengan dasar yang dibuat oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang mempunyai satu federasi yang akan memainkan peranan mengikut sektor masing-masing di antara sektor federasi ini adalah sektor agromakanan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Bank Rakyat 2022 di Menara Bank Rakyat di sini, pada Sabtu.

Noh berkata, KUSKOP komited dalam melaksanakan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam usaha mengatasi isu berkaitan sektor pertanian.

Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM500 juta di bawah ‘Skim Agro Food Facilities’ bagi menggalakkan pengeluaran bahan makanan yang diuruskan koperasi berasaskan agromakanan.

Noh berkata gerakan koperasi negara kini telah mencapai usia 100 tahun.

"Dan dalam tempoh seabad ini, koperasi telah menunjukkan satu evolusi yang membanggakan dengan pelbagai penglibatan dalam sektor ekonomi yang dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

"Perjuangan gerakan koperasi seperti Bank Rakyat terus relevan dengan kejayaan meningkatkan kesejahteraan anggota melalui penglibatan aktiviti ekonomi dan keusahawanan. Pada masa yang sama, gerakan koperasi amat penting bagi menggerakkan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sekali gus dapat melahirkan ‘Keluarga Usahawan’.

Noh berkata, koperasi juga merupakan salah satu ‘growth engine’ yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang dapat memperkasakan ekonomi masyarakat.

Bank Rakyat merupakan antara penyumbang terbesar kepada perolehan sektor perkhidmatan kewangan koperasi iaitu sebanyak RM26.8 bilion atau lebih 70 peratus daripada jumlah keseluruhan perolehan sektor koperasi.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar berkata Bank Rakyat akan memasuki tahun ke-68 sejak penubuhannya.

"Bagi memastikan Bank Rakyat kekal relevan untuk tahun-tahun akan datang. Bank Rakyat telah merangka pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) yang kini berada dalam fasa pelaksanaan yang mana pada tahun 2021, kesemua 46 program yang direncanakan telah berjaya direalisasikan mengikut perancangan.

"Bank Rakyat akan terus menyokong pertumbuhan mampan ‘Keluarga Koperasi’ dan memperkasakan peranan federasi koperasi khususnya dalam sektor kewangan dan keusahawanan yang mana bertepatan dengan aspirasi KUSKOP untuk memasyarakatkan gerakan koperasi dalam negara sebagai pemangkin kepada peningkatan sosioekonomi negara bangsa yang seimbang dan progresif.

"Menjadi hasrat Bank Rakyat juga untuk terus berinovatif dalam merancang pelbagai produk dan perkhidmatan yang holistik dan bersepadu serta dapat memanfaatkan anggota dan pelanggan untuk mencapai visinya sebagai Bank Koperasi Islam Progresif No.1 di Malaysia,” katanya. - Bernama