RTPG 2030 susun semula kawasan industri di Pasir Gudang

Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman (kanan) memberi penerangan ringkas mengenai RTPG 2030 kepada Onn Hafiz (tengah) pada Program Publisiti dan Penyertaan Awam RTPG di Menara Aqabah, Pasir Gudang pada Khamis.
Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman (kanan) memberi penerangan ringkas mengenai RTPG 2030 kepada Onn Hafiz (tengah) pada Program Publisiti dan Penyertaan Awam RTPG di Menara Aqabah, Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerajaan negeri menerusi Rancangan Tempatan Pasir Gudang (RTPG) 2030 akan menyusun semula kawasan perindustrian di sini bagi memastikan pencemaran alam sekitar tidak berlaku pada masa depan.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, RTPG 2030 dalam tempoh 10 tahun yang dirancang sejak 2020 adalah antara usaha membanteras pencemaran udara seperti insiden Sungai Kim Kim daripada berulang.

"Apa yang berlaku di Sungai Kim Kim berbalik kepada kawasan industri yang tidak terancang sebab kelulusan (untuk kawasan indsutri) sebelum ini lebih kepada plot-plot tertentu.

"RTPG 2030 dibangunkan atas dasar menggantikan rancangan tempatan daerah sedia ada, perubahan dasar dan strategi kawasan setempat merujuk fungsi bandaraya ini sebagai bandar industri dan pelabuhan.

"Jadi kalau kita rancang industri ini diletakkan dalam satu kawasan di mana bahan buangan kimia 'chemical waste' dan sampah sarap akan diuruskan secara terancang dan dalam perancangan ianya akan diproses menjadi sumber tenaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam RTPG yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Menara Aqabah di sini pada Khamis.

Program itu dilaksana bagi mendapatkan pandangan, bantahan dan rayuan antaranya orang perseorangan, persatuan, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), pemaju, syarikat swasta dan pertubuhan politik berkenaan cadangan pembangunan yang dinyatakan dalam laporan RTPG 2030.

Mengulas lanjut, Mohd Jadni berkata, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) sedang melihat keseluruhan pembangunan untuk 10 tahun akan datang yang akan diselaraskan kerana perancangan pembangunan sebelum ini tidak tersusun.

Jelasnya, susunan penempatan akan dilakukan berdasarkan industri akuakultur, penempatan penduduk dan penempatan hostel pekerja asing.

"Contohnya hostel pekerja asing, pada ketika ini ada di kawasan perumahan dan ada juga dalam kilang. Jadi kita selaraskan di satu tempat di mana ianya lebih terkawal dan pengawalannya boleh dibuat lebih baik," katanya.

Sementara itu beliau berkata, pelaksanaan inisiatif Greater JB (Johor Bahru) antaranya akan memastikan sektor ekonomi Johor kembali berdaya saing pasca pandemik Covid-19 termasuk menarik kehadiran pelabur.

"Inisiatif berkenaan akan menyaksikan penyelarasan melibatkan empat berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru; Majlis Bandaraya Iskandar Puteri; MBPG dan Majlis Perbandaran Kulai.

"usaha itu turut melibatkan beberapa penambahbaikan yang akan mengurangkan karenah birokrasi bagi syarikat yang mahu menjalankan perniagaan di negeri ini," katanya