Nelayan buntu hasil tangkapan merudum

Nelayan Pulau Pinang membantah kerja pengorekan pasir di Pengkalan Weld kerana menberi kesan buruk kepada mereka.
Nelayan Pulau Pinang membantah kerja pengorekan pasir di Pengkalan Weld kerana menberi kesan buruk kepada mereka.
A
A
A

GEORGETOWN - Lebih 900 nelayan di negeri ini buntu apabila hasil tangkapan mereka merudum sehingga 80 peratus akibat kerja pengorekan pasir di pengairan laut di sini.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata, mereka yang terlibat adalah dari tujuh lokasi iaitu Batu Uban, Gelugor, Jelutong, Sungai Pinang, Paramount, Tanjung Bungah dan Tanjung Tokong.

Tambahnya, aktiviti pengorekan pasir itu juga memberi kesan kepada nelayan sekitar Timur Laut sehingga Bagan Ajam dan Seberang Perai.

Menurutnya, dua kapal korek tersebut didapati menjalankan aktiviti pengorekan pasir di Pengkalan Weld sejak dua bulan lalu.

"Dari pemantauan yang dibuat, kerja pengorekan ini dijalankan siang dan malam sedangkan jika mengikut undang-undang, kerja tersebut hanya dibenarkan dijalankan pada waktu siang sahaja. Terdapat dua kapal korek sedang beroperasi.

"Kami tidak pasti sama ada operasi pengorekan pasir di kawasan itu diberi kelulusan atau tidak. Ini kerana, setiap kerja di perairan, konsultan projek akan memaklumkan kepada pihak terlibat termasuk nelayan. Namun dalam projek ini, kami langsung tidak dimaklumkan," katanya kepada media hari ini.

Tambahnya, akibat aktiviti pengorekan pasir tidak terkawal itu, ia telah menyebabkan kerosakan laut sekali gus hasil tangkapan berkurangan.

"Kawasan Pengkalan Weld berselut. Apabila pasir dikorek, selut-selut ini akan terkeluar. Selut di kawasan tersebut dikategorikan sebagai selut tercemar dan dipercayai ia mengandungi bakteria seperti E-Coli.

Artikel Berkaitan:

"Sudahlah hasil tangkapan kurang, kami bimbang hasil tangkapan itu juga dicemari dengan bakteria. Apabila ia dijual, ia akan memberi kesan buruk kepada pembeli.

"Oleh itu, kami gesa agensi penguatkuasaan dan Kerajaan Pulau Pinang menyiasat segera aktiviti ini dan sekiranya ia tiada kelulusan, ia perlu dihentikan segera," katanya.

Nazri berkata, pihaknya telah beberapa kali membuat aduan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Daerah Maritim 2 Pulau Pinang namun tiada tindakan sehingga kini.

"Dari maklumat yang diperolehi dari Agensi Penguatkuasa Maritim, jika aktiviti itu dijalankan di bawah tiga batu nautika, ia di bawah kuasa kerajaan negeri dan bukan kerajaan Pusat. Namun ada banyak pihak berkuasa yang boleh ambil tindakan tetapi tiada satu pun yang bertindak.

Nelayan Pulau Pinang menggesa agar kerajaan negeri menyiasat kegiatan pengorekan pasir sama ada mempunyai kelulusan atau sebaliknya.
Nelayan Pulau Pinang menggesa agar kerajaan negeri menyiasat kegiatan pengorekan pasir sama ada mempunyai kelulusan atau sebaliknya.

"Yang menanggung sengsara adalah nelayan. Oleh demikian, kami merayu agar kerajaan negeri mengambil serius isu ini kerana ia melibatkan pendapatan ramai nelayan. Kami nak tahu, pasir yang dikorek ini dibawa ke mana kerana kami mendapat maklumat, ia dibawa ke Macallum," katanya.

Tambahnya, apa yang mengecewakan, ketika penguat kuasa membuat pemeriksaan, kerja-kerja pengorekan itu telah dihentikan.

"Kami yakin maklumat tersebut telah sampai kepada pihak yang mengorek pasir berkenaan terlebih dahulu, sebab itu apabila pihak berkuasa datang, mereka menghentikan pengorekan. Apa yang merisaukan adalah pelanggaran etika kerja kerana jumlah pasir di Sungai Pinang, Teluk Bahang, Jelutong dan Pulau Betong terlalu banyak.

"Untuk menjimatkan kos, kami bimbang pemilik projek telah mencuri pasir di kawasan tersebut. Ini kerana, kawasan yang dibenarkan untuk pengorekan pasir adalah di Tanjung Piandang, Perak. Ia jauh dan kedalaman untuk mengorek pasir adalah 20 meter berbanding di sini, hanya satu meter," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Nelayan Jelutong, Badrul Hisham Hashim berkata, pasir adalah kawasan utama pembiakan ikan dan ia perlu dijaga.

"Isu ini amat serius kerana kegagalan kerajaan mengawal perairan yang boleh kita lihat sendiri. Kawasan pengorekan ini amat dekat dengan darat. Mustahil ia tidak disedari kerajaan negeri atau pihak berkuasa.

"Pengambilan pasir ini memberi kesan buruk kepada nelayan. Banyak bot dan pukat kotor akibat selut yang terkeluar akibat daripada pengorekan pasir. Jika aktiviti pengorekan ini tidak dikawal, ia akan memberi kesan kepada generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, Exco Alam Sekitar, Phee Boon Poh ketika dihubungi berkata, kerajaan negeri akan menyiasat tentang dakwaan tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak memberi kelulusan atau kebenaran kepada mana-mana pihak untuk mengorek pasir di kawasan berkenaan.

"Kita akan siasat. Kerajaan negeri tidak memberi kelulusan atau kebenaran untuk mana-mana aktiviti di negeri ini.

"Saya memohon agar nelayan membantu kerajaan negeri dengan menyalurkan maklumat berkenaan kegiatan ini," katanya.