Bot nelayan gajikan PATI ditahan, 200kg hasil laut dirampas

Tiga kru bot yang ditahan pihak Maritim Malaysia. - foto APMM
Tiga kru bot yang ditahan pihak Maritim Malaysia. - foto APMM
A
A
A

MERSING - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Mersing telah menahan sebuah bot nelayan tempatan yang dikendalikan tiga kru termasuk seorang warga asing tanpa permit di kedudukan sekitar 1.3 batu nautika barat daya Pulau Besar pada jam 9 malam pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, pasukan operasi telah memeriksa dan menahan bot berkenaan ketika dalam rondaan rutin Op Jaksa dan Op Tiris di perairan berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan Kelas A itu dikendalikan oleh dua warga tempatan termasuk tekong dan seorang warga Myanmar yang bekerja tanpa permit serta kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan dan hanya memiliki kad pelarian Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 25 hingga 41 tahun.

"Mereka disiasat kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggajikan kru warga asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan dan Akta Imigresen 1959/63 selain tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya pada Selasa.

Bot yang ditahan pihak Maritim Malaysia. - foto APMM
Bot yang ditahan pihak Maritim Malaysia. - foto APMM

Bot serta kesemua kru ditahan bersama 200 kilogram hasil laut dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Pihak Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor ditalian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk tindakan segera.