'Pilih Malaysia sebab mudah masuk' - PATI

Warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah kondominium di sini pada Jumaat.
Warga asing yang diperiksa dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah kondominium di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendatang asing tanpa izin (PATI) mengakui prosedur untuk masuk ke Malaysia yang mudah menyebabkan rata-rata mereka memilih negara ini sebagai destinasi pelarian.

Dakwaan itu dibuat selepas mereka ditahan dalam operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah kondominium di sini pada Jumaat.

Warga Afghanistan yang dikenali sebagai Mahdi Nazari, 23, berkata, dia memasuki negara ini pada 2019 bagi melarikan diri daripada perang Taliban.

“Saya datang ke Malaysia dengan kapal terbang dan tidak mahu pulang ke Afghanistan. Ini kerana Taliban tidak suka etnik Hazara. Jadi saya tidak akan pulang ke sana.

“Kadar rumah sewa di sini juga murah, saya kongsi bertiga bayar sewa RM1,000 sebulan,” katanya kepada media ketika ditemui di lokasi serbuan di sini pada Jumaat.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, dalam operasi pada jam 11 malam itu, sepasukan anggota Imigresen Kuala Lumpur dan Selangor memeriksa seramai 205 warga asing membabitkan 165 warga Afghanistan, enam Libya serta dua warga India.

Katanya, hasil pemeriksaan menahan 49 individu terdiri daripada 27 lelaki, 17 wanita dan lima kanak-kanak.

Jelasnya, mereka yang berusia lingkungan sembilan bulan hingga 68 tahun itu rata-rata adalah pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

“Kebanyakan mereka datang secara sah menggunakan pasport namun sampai di sini mereka akan buat kad (UNHCR) untuk terus tinggal di sini.

“Imigresen akan semak semula kad UNHCR itu sama ada tulen atau tidak,” jelasnya.

Kesemua tangkapan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

Dalam pada itu, tinjauan Sinar Harian mendapati kumpulan warga asing terbabit menjadikan kondominium berkenaan sebagai tempat perlindungan bagi menyukarkan ditangkap pihak berkuasa.