Kerajaan tidak kawal kos pemberian vaksin kanak-kanak: Noor Azmi

Kerajaan tidak mengawal kos pemberian vaksin oleh fasiliti kesihatan swasta susulan penamatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) pada Selasa. - Foto Bernama
Kerajaan tidak mengawal kos pemberian vaksin oleh fasiliti kesihatan swasta susulan penamatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak mengawal kos pemberian vaksin oleh fasiliti kesihatan swasta susulan penamatan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) pada Selasa.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, kos terbabit termasuk caj konsultasi dan harga vaksin bergantung sepenuhnya kepada pihak yang menawarkan servis itu.

"Harga vaksin akan ikut harga siling, perkara ini bergantung kepada pihak swasta sebab mereka terpaksa membeli vaksin dan mereka akan buat 'charging' mengenai konsultasi, 'consumables' dan sebagainya, itu bergantung kepada setiap fasiliti dan harga akan berbeza-beza," katanya selepas merasmikan Majlis Hari Bebas Tembakau di sini hari ini.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak berhasrat melanjutkan PICKids kerana telah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.

Katanya, selepas ini, jika ibu bapa mahu mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 untuk anak masing-masing, mereka perlu ke klinik swasta dengan bayaran tertentu.

Beliau turut memaklumkan, KKM sedang memfokus kepada usaha menyelesaikan pemberian vaksin untuk kanak-kanak yang berusia lima tahun esok.

"Kanak-Kanak yang belum mencapai usia lima tahun akan terus diberi peluang untuk mendaftar dan buat janji temu di pautan yang diberikan hingga 31 Januari 2023.

"Untuk anak-anak yang telah didaftarkan untuk PICKids tetapi dijangkiti Covid-19, mereka diminta untuk tangguh dulu sehingga mereka sembuh sekurang-kurangnya enam minggu, selepas itu untuk mendapatkan vaksin, mereka boleh pergi kepada klinik kesihatan untuk mendapatkan janji temu untuk vaksin, masa terakhir ialah pada 31 Ogos,” katanya.

Dr Noor Azmi turut menyeru, ahli Parlimen agar menyokong Rang Undang-Undang Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentang Julai ini untuk diluluskan.

"Kita berhasrat sangat untuk membawa rang undang-undang ini yang Menteri Kesihatan akan bentangkan di Parlimen pada bulan Julai... kita tunggu lama dah dan kita dapat lihat banyak usaha yang dilakukan tetapi pergerakan peratus prevalen merokok sangat lembab," katanya. - Bernama