RM30 juta cukup bina litar lumba rakyat: Mukhriz

Ilustrasi cadangan pembangunan kompleks litar lumba di Sungai Petani. (Sumber: Facebook Litar lumba bermotor Sungai Petani race track). Gambar kiri: Mukhriz
Ilustrasi cadangan pembangunan kompleks litar lumba di Sungai Petani. (Sumber: Facebook Litar lumba bermotor Sungai Petani race track). Gambar kiri: Mukhriz
A
A
A

JERLUN - Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mempersoal kewajaran kerajaan negeri Kedah mahu menjual sebahagian tanah untuk dibangunkan litar lumba rakyat di Sungai Petani bagi membiayai kos pembinaan litar tersebut.

Mukhriz berkata, dana RM30 juta yang diluluskan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini sudah mencukupi untuk membina keseluruhan projek litar berkenaan yang diumumkan pada tahun 2008.

Menurutnya, tiada keperluan lagi untuk kerajaan negeri menambah dana bagi membiayai projek berkenaan memandangkan kos yang diluluskan masih berbaki RM20 juta.

“Projek litar lumba itu adalah litar untuk rakyat yang dikemukakan oleh NGO belia Kedah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sewaktu beliau masih lagi Perdana Menteri. Najib ketika itu terus umumkan projek berkenaan akan dilaksanakan dengan peruntukan kerajaan pusat.

“Walaupun kerajaan berubah, saya terus berhubung dengan KBS dan sewaktu saya terajui Kedah bersama Pakatan Harapan (PH), kita mendapat kelulusan RM30 juta untuk tujuan tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ahli Parlimen Jerlun itu kecewa dengan keputusan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang bercadang menjual sebahagian tanah di tapak litar berkenaan dan bakal menerima tawaran daripada sebuah syarikat yang berminat untuk menampung kos pembinaannya.

“Saya rasa kecewa sangat, harap kerajaan negeri boleh pertimbang semula cadangan itu. Jangan mudah sangat nak jual tanah, teruskan dengan projek-projek yang membawa kebaikan untuk rakyat walaupun ideanya datang daripada kerajaan terdahulu,” katanya.

Tambah Mukhriz, pihaknya bimbang sekiranya hasil penjualan tanah itu nanti digunakan untuk menampung kos projek lain seperti pembinaan litar lumba kereta mewah di Langkawi.

“Tak tahulah apa lagi yang diperlukan, nak guna untuk apa. RM20 juta itu sebenarnya yang disediakan oleh KBS sebelum ini dan ia bajet yang sudah bertajuk, iaitu litar lumba Sungai Petani.

“Jadi nak tukar tajuk ini bukan satu perkara mudah, bukan senang-senang nak ubah. Bukan boleh ambil duit itu yang diluluskan untuk projek litar untuk buat benda lain,” ujarnya.

Mukhriz turut mempertikai kenyataan Muhammad Sanusi yang mengatakan kerajaan negeri tidak mempunyai dana secukupnya untuk meneruskan pembinaan litar berkenaan.

“Kalau kita lihat kenyataan dikeluarkan oleh Muhammad Sanusi yang mengakui kos pembinaan litar RM30 juta, yang mana RM10 juta telah dibelanjakan untuk pengambilan dan penyediaan tapak tanah. RM20 juta lagi untuk pembangunan litar tersebut.

“Saya hairan kenapa dimaklumkan duit tidak cukup. Padahal kos RM30 juta dan peruntukan yang diterima pun RM30 juta. Ada baki RM20 juta lagi dengan kerajaan negeri. Sekarang ada cadangan pula untuk jual tanah, mungkin untuk bangunkan satu lagi litar di Bukit Malut, Langkawi,” katanya.

Menurutnya, pendekatan untuk membina litar lumba kereta mewah di Langkawi dipersoal kerana ia sudah tentu tidak melibatkan rakyat yang seharusnya diberikan keutamaan.

“Litar di Sungai Petani yang kami nak buat dulu ialah untuk kegunaan rakyat khususnya anak-anak muda yang berminat dalam sukan permotoran agar boleh gunakan fasiliti bertaraf dunia.

"Tetapi cadangan litar di Langkawi itu ialah litar untuk kegunaan mereka yang memiliki kereta-kereta mewah. Pendekatannya sangat berbeza, tidak langsung melibatkan rakyat,” katanya.

Pada 21 Mei lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan akan meneruskan pembinaan litar lumba rakyat di Sungai Petani dengan kos RM30 juta berbanding cadangan kerajaan negeri terdahulu yang mahu membina litar lumba bertaraf antarabangsa mencecah RM73 juta.

Peruntukan pembinaan litar berkenaan masih berbaki RM20 juta daripada keseluruhan RM30 juta yang diluluskan KBS.

Untuk mempercepatkan semula projek itu, kerajaan negeri bercadang menjual sebahagian tanah litar milik Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) berkeluasan 40 hektar kepada sebuah syarikat untuk membiayai kos pembinaannya.

Muhammad Sanusi memaklumkan sebahagian tapak akan dibangunkan kawasan komersial dan sebahagian lagi untuk litar yang akan dibiayai dengan dana sedia ada dan dana baharu.