X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Cari alternatif, bukan jual tanah: Mahfuz

Mahfuz
A
A

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempertikaikan cadangan kerajaan negeri Kedah yang mahu menjual sebahagian tanah untuk dibangunkan litar lumba di Sungai Petani bagi mendapatkan dana membiayai kos pembinaan litar.

Menurutnya, perkara tersebut dianggap sebagai mengejutkan kerana kerajaan negeri masih lagi boleh mencari alternatif dan bukannya mengambil pendekatan mudah menjual sebahagian tanah tapak projek tersebut.

"Belum berlaku dalam sejarah hendak bina satu projek yang tidak bersifat projek penjanaan ekonomi ini, kita hendak menjual tanah. Saya mungkin boleh terima jika buat projek yang boleh menjana pendapatan ekonomi kepada negeri dan rakyat.

"Saya setuju projek pembinaan litar kerana jadi keperluan kepada anak-anak muda peminat motor di Kedah, tetapi tidaklah sampai ke peringkat kita perlu menjual tanah," katanya ketika sidang akhbar di Alor Setar pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan kerajaan negeri mahu menjual sebahagian tanah yang dikhaskan untuk membina litar lumba di Sungai Petani dan berkeluasan 40.4 hektar milik Menteri Besar Incorporated (MBI).

Mahfuz berkata, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor seharusnya mengambil kira keadaan ekonomi negara yang kini tidak stabil dan boleh mengumumkan agar projek tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.

"Saya percaya bahawa kalau alasan tidak cukup wang boleh diberitahu kepada anak-anak muda ini. Bukan beritahu dengan bangga kita akan jual sebahagian tanah untuk menampung projek ini.

"Ini satu perkara yang memalukan dan menunjukkan bagaimana kerajaan negeri begitu lemah berfikir mencari sumber pendapatan bagi menampung projek tersebut," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) menggesa kerajaan negeri mendedahkan berapa nilai sebenar tanah di tapak projek tersebut agar diketahui oleh semua rakyat Kedah.

"Menurut MB Kedah, tanah tersebut akan dijual RM4 untuk satu kaki persegi, dengan nilai sebenar katanya RM3.80 dan ada syarikat bersedia untuk membeli tanah tersebut.

"Jadi saya minta supaya kerajaan memperjelaskan penilaian bebas berapa nilai sebenar tanah tersebut. MB atau Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kedah perlu membuat penjelasan ini kerana PTG terlibat dalam pengambilan tanah," katanya.

Pada Sabtu lalu, Muhammad Sanusi memberitahu, pembinaan litar di Sungai Petani tertangguh sejak beberapa tahun lalu akan kembali menggunakan reka bentuk asal yang menelan kos RM30 juta.

Sebelum ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memperuntukkan RM30 juta untuk pembinaan litar itu dan RM10 juta dibelanjakan untuk kerja tanah bagi pembinaan litar.

Bagaimanapun, kerajaan negeri sebelum pimpinan Muhammad Sanusi mengubah pelan asal litar itu menjadikannya lebih besar menggunakan piawaian antarabangsa membabitkan kos RM73 juta, namun projek terhenti kerana kos tinggi.

Tambah Sanusi, pihaknya kini di peringkat menjual tanah yang mana tanah itu akan dibahagikan kepada dua bahagian dengan sebahagian akan dibangunkan kawasan komersial dan sebahagian lagi untuk litar yang akan dibiayai dengan dana sedia ada dan dana baharu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!