Jangan keterlaluan soal hantaran, elak musnahkan hidup orang lain

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

BUKAN satu hal yang pelik kalau golongan berusia dalam lingkungan 30-an dan 40-an masih tidak berkahwin lagi.

Alasan mereka pelbagai dan kadangkala nampak klise. Sesetengahnya terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga terlupa mahu mencari pasangan hidup.

Tidak kurang juga yang terlalu memilih. Pilih punya pilih, akhirnya melepas terus sampailah digelar andartu.

Pun demikian, apa yang terjadi kepada rakan Merak Jalanan memang tragis. Tahap kekecewaan yang dialami telah menyebabkan beliau ‘melafazkan ikrar’ untuk tidak berkahwin sampai bila-bila.

Begini, rakan Merak Jalanan bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di Lembah Klang. Beliau bercinta dengan operator wanita yang bekerja sebumbung dengannya.

Pun demikian, ikatan di antara mereka terlerai apabila pihak keluarga wanita meminta wang hantaran di luar kemampuannya.

“Gaji aku hanya RM3,000 lebih, mana nak bayar sewa rumah, bagi mak dan adik-adik yang masih bersekolah tiap-tiap bulan. Bukan nak cakap apa, minta wang hantaran sampai RM17,000 memang tak masuk akal,” kata beliau.

Detik hitam itu sedaya upaya dilupakannya. Namun, pada awal tahun lepas, kawan sekolah Merak Jalanan yang sudah berusia 43 tahun itu menemui cinta baharu.

Hendak dijadikan cerita, skrip yang sama berulang sekali lagi. Kali ini, jauh lebih teruk. Famili wanita itu meminta wang hantaran berjumlah RM20,000!

Selepas setahun berlalu, baru-baru ini kami berjumpa. Beliau tampil dengan semangat baharu. Katanya, soal jodoh sudah diketepikan dan telah menukar hala tuju hidup.

Wang yang dikumpul untuk berkahwin selama ini digunakan untuk menyambung pengajian di universiti. Seperkara, beliau mahu terus berbakti kepada orang tuanya.

Nasihat Merak Jalanan kepada mak ayah di luar sana, jangan keterlaluan dalam soal duit hantaran. Mudahkan benda yang rumit kerana ini melibatkan silaturahim.