MBJB kaji pelan tangani banjir kilat

Mohd Noorazam
Mohd Noorazam
A
A
A

JOHOR BAHRU - Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sedang mengkaji pelan jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mencari jalan penyelesaian dalam menangani isu banjir kilat di bandar raya ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, hal ini berikutan sistem dan reka bentuk perparitan yang lama, dilihat tidak lagi boleh menampung taburan hujan ketika ini.

"Reka bentuk parit kita mengikut perancangan 100 tahun, ia tidak boleh terpakai dengan keadaan hujan sekarang.

"Ini kerana ukuran yang dibuat mengikut kiraan 100 tahun dan sepatutnya kita sudah perlu mengira (perancangan) untuk 100 tahun lagi dan baharu,” katanya pada sidang media selepas Program Kenali Wajah Baharu Sungai Segget dan Pelancaran Geran Pusat Bandaraya Johor Bahru: Seni, Warisan dan Budaya, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu banjir kilat yang berlaku di bandar raya ini.

Mohd Noorazam berkata, antara kawasan mudah dilanda banjir kilat di bandar raya ini antaranya di kawasan Larkin, Jalan Tebrau, Jalan Tun Abdul Razak serta Stulang Darat.

Pada 25 Mei lepas beberapa kawasan di bandar raya ini dilanda banjir kilat susulan hujan lebat dalam tempoh empat jam.

Beliau bagaimanapun menjelaskan kawasan di Larkin Idaman yang terjejas akibat banjir kilat antaranya turut dipengaruhi oleh projek kereta api di kawasan berdekatan.

"Isu utama di kawasan itu berlaku banjir kilat adalah projek kereta api, kerana berlaku runtuhan daripada saluran keluar air sementara yang mereka buat di kawasan projek itu.

Jadi semasa kejadian kita lihat ada keruntuhan berlaku dan terjadi aliran balik di kawasan Larkin dan juga Taman Suria,” katanya. - Bernama