Sila log masuk terlebih dahulu.

Rujukan dan kamus bahasa Melayu

A
A
A

PENGGUNA bahasa di dunia, dulu dan kini sering menghadapi masalah ketika menggunakannya walaupun yang digunakan itu bahasa ibundanya sendiri.

Demikian juga pengguna bahasa Melayu yang berdepan dengan sekecil-kecil masalah seperti ejaan sehinggalah kepada masalah besar iaitu tatabahasa.

Bagi mereka yang merasai masalah itu perkara biasa, maka diabaikan begitu sahaja atau menggunakan secara terus dan selamba.

Golongan beginilah yang sering melahirkan variasi bahasa ‘bersifat awangan’ dan berpotensi menghasilkan bahasa cacamarba serta kucar-kacir.

Namun, ada golongan yang prihatin merasai bahawa masalah itu perlu diatasi segera, dan kaedah penyelesaian dicari.

Penulis pernah ditanya oleh individu tertentu tentang betul atau salah ejaan ‘serunding’ dan ‘kelingking’. Jawapannya kedua-dua ejaan tersebut salah kerana dalam Kamus Dewan (rujukan mutakhir) ejaannya ialah ‘serondeng’ dan ‘kelengkeng’.

Pada hakikatnya, sering kali kita temui dalam apa-apa program penggunaan perkataan ‘aturcara’, ‘sarapan pagi’ dan ‘tengahari’ sebegitu ejaannya.

Agaknya amalan ejaan begini sudah dilangsungkan turun-temurun secara peniruan tanpa rujukan.

Artikel Berkaitan:

Sepatutnya jika jawatankuasa program itu membuat sedikit rujukan sama ada ‘rujukan tokoh’ atau rujukan kamus sudah pasti ejaan ‘aturcara’ bertukar menjadi ‘atur cara’, ‘sarapan pagi’ menjadi ‘sarapan’, ‘tengahari’ menjadi ‘tengah hari’.

Inilah antara gambaran bahawa amat perlu kita merujuk jika menghadapi apa-apa masalah dalam penggunaan bahasa.

Menyentuh sedikit tentang kamus bahasa Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengambil langkah menerbitkan Kamus Dewan Edisi Pertama sejak tahun 1970.

Pada tahun 1984, edisi kedua pula diterbitkan. Edisi ketiga, yang diterbitkan pada tahun 1994 diulang cetak pada tahun 1998 dan merupakan edisi paling popular serta mencatatkan jualan paling tinggi dalam sejarah.

Edisi ini mengandungi lebih daripada 36,000 lema atau entri (kata masukan) dalam 1,566 halaman.

Pada tahun 2005, edisi keempat diterbitkan, memaparkan sekitar 82,900 kata masukan (34,578 entri, 24,180 subentri, dan 24,142 frasa entri) dalam 1,817 halaman.

Jika dilihat pertambahan entri dalam setiap edisi keluaran, sudah pasti DBP telah cuba mengutip dan mengumpul kata dalam pelbagai budaya hidup masyarakat di negara ini dengan memberi makna semasa serta ejaan yang betul.

Oleh itu, jika pengguna bahasa Melayu menghadapi masalah dalam penggunaan bahasa terutama berkaitan ejaan dan ketepatan makna perkataan bolehlah merujuk khazanah bahasa yang lengkap ini.

Tambahan pula, dalam dunia yang serba canggih sekarang, rujukan kamus juga boleh diperoleh melalui media elektronik, laman sesawang khas dan juga pelbagai kemudahan yang dilakukan oleh kerja jari-jemari sahaja.

Namun begitu, harus diingatkan entri dalam Kamus Dewan tidak semuanya baku.

Jika terdapat sebarang tanda selepas entri tersebut seperti tanda negeri, maka perkataan itu merupakan kata dialek.

Contoh perkataan ngapur Kl bercakap ketika tidak sedarkan diri, meracau, merepek bermakna perkataan ini dialek Kelantan yang bermaksud begitu.

Terdapat juga golongan tertentu yang membawa fahaman tidak tepat tentang bahasa Melayu iaitu kononnya banyak lengkok dan selokohnya sehingga sukar digunakan.

Biasanya golongan ini tiada rasa cinta akan bahasanya sendiri dan mereka inilah yang pada peringkat awalnya mencampuradukkan antara bahasa Melayu dengan bahasa asing terutama bahasa Inggeris.

Apabila golongan ini jumlahnya bertambah dan mempunyai kedudukan baik dalam masyarakat, lahirlah majoriti manusia yang beranggapan bahasa rojak begitu berstatus tinggi sehingga perkembangan bahasa Melayu secara murni terbantut.

Oleh yang demikian, penulis menyeru kepada semua pengguna bahasa Melayu, terutama dalam agenda formal dan rasmi harus menggunakan bahasa Melayu standard dan baku.

Perancangan bahasa sebelum berlangsungnya sesuatu agenda, wajib dilakukan.

Sekiranya menghadapi sebarang masalah seperti ejaan, ketepatan kata, rangkai kata, ayat dan sebagainya wajib merujuk kepada sumber yang sesuai.

Bahasa yang baik dan betul melambangkan identiti dan jati diri penggunanya.

Jangan biarkan bahasa kita dicemuh lantaran pengabaian rujukan dan kamus apabila ragu dalam penggunaannya.

* Abdullah Mohd Yassin Munsyi Dewan (Bahasa)

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka