Kerajaan negeri, PBT perlu sokong dasar tangani banjir

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menyokong dasar kerajaan untuk melaksanakan pembangunan terancang dan lestari bagi menangani banjir.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, antaranya, Rancangan Malaysia Lima Tahun, Dasar Alam Sekitar Negara, Dasar Rancangan Fizikal Negara dan Dasar Perbandaran Negara.

Tambahnya, ia termasuk projek kerajaan negeri yang melibatkan penebangan hutan dan pembangunan perumahan yang besar serta berdensiti tinggi.

“Isu banjir kilat dibincangkan setiap hari. Bencana itu berlaku akibat perubahan iklim dan cuaca melampau selain pembangunan besar-besaran tanpa mengikut garis panduan berkaitan pembangunan lestari dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Lam Thye menambah, penilaian kesan alam sekitar dan impak sosial sepatutnya boleh menapis projek-projek pembangunan yang tidak mesra alam sekitar danberpotensi menjejaskan keselamatan masyarakat.

“Pembangunan hartanah yang menjana ekonomi pemaju dan kerajaan wajar dilaksanakan dengan lestari dan tidak terlalu pesat sehingga merosakkan kapasiti semulajadi tanah-tanah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Lam Thye berkata, Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh memainkan peranan penting semasa dasar itu digubal atau dikaji semula dengan mengambil bahagian dan memberi input dengan aktif didalam ‘stakeholder engagements’ atau penyertaan awam yang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan.

“Dalam hal ini juga, NGO boleh membantu masyarakat untuk memahami dan menginterpretasi dasar-dasar, menyemak ‘checklist’ dalam kawasan masing-masing sama ada telah dilaksanakan tindakan berkaitan pembangunan lestari.

“Sebagai contoh dalam Dasar Rancangan Fizikal Negara ada menyatakan bahawa infrastruktur saliran perlu disediakan di semua penempatan untuk mengelakkan kejadian banjir’.

“Langkah-langkah adaptasi untuk mengelak atau meminimumkan impak kejadian banjir adalah jauh lebih baik daripada projek mitigasi banjir dan pemulihan sehingga menelan perbelanjaan negara yang terlalu tinggi,” jelasnya.