Tiga siren Sistem Amaran Awal Hujan Ribut dibangunkan di Yan

Mansor (tiga dari kanan) membincangkan pembangunan Empangan Sabo ketika lawatannya di Titi Hayun di Yan pada Khamis.
Mansor (tiga dari kanan) membincangkan pembangunan Empangan Sabo ketika lawatannya di Titi Hayun di Yan pada Khamis.
A
A
A

YAN - Tiga siren Sistem Amaran Awal Hujan Ribut akan dibangunkan di kaki Gunung Jerai di pekan Yan sebagai usaha mengelakkan kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda berulang.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, ketiga-tiganya melibatkan Siren Rekreasi Titi Hayun, Siren Rekreasi Seri Perigi dan Siren Masjid Jamek Badlishah.

Katanya, siren yang dibangunkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu dapat didengari penduduk dalam radius satu kilometer dari lokasi siren terbabit.

"Bunyi siren itu agak berbeza daripada bunyi kecemasan yang lain supaya penduduk lebih peka dan dapat bertindak dengan cepat," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Projek Pembinaan Empangan Sabo di Titi Hayun di sini pada Khamis.

Menurutnya, pemasangan siren terbabit akan dijalankan bermula hujung tahun ini dan akan siap dibina selewat-lewatnya Mei tahun depan.

"Kita cadang agar siren terbabit diaktifkan sebaik sahaja hujan lebat berlaku di puncak supaya persediaan dapat dilakukan oleh penduduk dan agensi terlibat," katanya.

Mansor menambah, sistem siren itu akan dilengkapi dengan tiga peringkat amaran dengan peringkat terakhir merupakan tahap bahaya.

Mansor (kiri) mendengar taklimat berkaitan pembangunan Empangan Sabo.
Mansor (kiri) mendengar taklimat berkaitan pembangunan Empangan Sabo.

"Pada peringkat ini kita akan bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pejabat daerah bagi urusan pemindahan penduduk," katanya.

Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos tahun lalu, seramai enam mangsa terkorban dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh selain menyebabkan banyak rumah kediaman, premis dan pengusaha chalet pelancongan desa terkesan akibat fenomena itu.

Sementara itu, Mansor berkata, pembinaan Empangan Sabo di Titi Hayun yang telah bermula Disember tahun lalu telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 20 peratus dan berjalan mengikut perancangan serta bakal disiapkan pada Jun tahun depan.

“Empangan ini adalah bagi mengatasi bencana kepala air selain menghalang pokok dan sampah-sarap dari pasir atau batu besar supaya tidak 'menghilir' apabila berlaku aliran deras.

"Ini bagi mengelakkan kemusnahan besar kepada kawasan di bawah,” katanya.