Pelaburan RM9b pada 2013-2018 dalam industri aeroangkasa Malaysia

Orang ramai melihat demonstrasi oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan VAT69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) edisi ke-15 di Resort World Langkawi, hari ini. - Foto Bernama
Orang ramai melihat demonstrasi oleh Pasukan Khas Laut (PASKAL) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan VAT69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19) edisi ke-15 di Resort World Langkawi, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Industri aeroangkasa Malaysia telah menarik pelaburan bernilai RM9.01 bilion bagi tempoh enam tahun lepas, kata Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Lokman Hakim.

Beliau berkata sebanyak 50 projek diluluskan bagi industri itu dalam tempoh berkenaan.

"Pada 2018 sahaja, ia menarik 11 projek dengan pelaburan diluluskan bernilai RM816.3 juta dengan 41 peratus datang daripada sumber asing," katanya dalam ucapan semasa merasmikan Seminar Industri Aeroangkasa di sini, hari ini.

Seminar itu diadakan bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang bermula semalam dan akan berakhir pada 30 Mac di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan Resort World Langkawi (RWL).

Lokman berkata Malaysia mempunyai pelbagai faktor yang betul untuk menjadi pusat penyumberan luar bagi produk dan perkhidmatan aeroangkasa.

Beliau berkata sejak pelancaran MEASAT-1 pada 1996 dan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia yang pertama pada 1997, industri itu terus mengekalkan pertumbuhan positif dan kini diiktiraf bagi keupayaannya untuk mereka bentuk dan pembuatan bagi komposit, komponen pesawat dan sistem avionik.

"Kita telah membangunkan rantaian bekalan yang kukuh, meliputi pemain industri global dan tempatan serta syarikat seperti Airbus, Boeing dan Rolls Royce," katanya.

Lokman berkata untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke dalam industri itu, kerajaan amat menggalakkan usaha sama strategik antara vendor tempatan dan syarikat multinasional untuk menerokai peluang perniagaan yang saling menguntungkan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan permintaan terhadap pesawat komersial di rantau Asia Pasifik terus berkembang, kami yakin bahawa industri aeroangkasa di Malaysia akan kekal berdaya maju dan berkembang untuk tahun-tahun akan datang," katanya.

Beliau berkata adalah juga penting untuk negara mendapatkan lebih banyak pakej kerja "rekaan dan bina" dan menjadi "rakan kongsi yang berkongsi risiko" dengan pengeluar peralatan tulen dari peringkat awal kitaran hayat pesawat.

"Pembangunan teknologi secara giat adalah penting bagi industri aeroangkasa Malaysia untuk terus berkembang. Perlu ada iltizam dan komitmen yang kuat di pihak syarikat tempatan untuk terus meningkatkan kapasiti mereka,” kata Lokman. - Bernama