'Mansuh AP bahan makanan satu solusi cetek'

Gambar hiasan. Gambar kecil: Lukman Al Hakim
Gambar hiasan. Gambar kecil: Lukman Al Hakim
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah kerajaan memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan didakwa tidak menyelesaikan isu kenaikan harga disebabkan penguncupan bekalan dunia.

Setiausaha Agung Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Ir Ts Lukman Al Hakim Mohamad berkata, keputusan itu hanya mampu menyelesaikan salah satu faktor kenaikan harga bahan makanan di Malaysia kerana dimonopoli kartel tertentu yang dilindungi kepentingannya.

Beliau berkata, isu kekurangan bekalan dari negara luar yang disebabkan peperangan, ketidakstabilan politik, kemelesetan ekonomi dan perubahan iklim dunia tetap tidak akan selesai.

Menurutnya, walaupun faktor itu berada di luar kawalan kerajaan, kerajaan sepatutnya membuat perubahan drastik terhadap polisi keselamatan makanan negara.

“Saya tahu ia tindakan tidak populis, mengambil masa dan tenaga yang lama untuk dilaksanakan, tapi inilah solusi jangka masa panjang yang rakyat perlukan.

“Bukannya pengumuman solusi cetek yang dibuat dalam satu mesyuarat kabinet secara tergesa-gesa. Pengumuman Perdana Menteri bernada marah, malas layan dan lepas tangan. Ia membawa konotasi ‘pandai-pandailah korang semua.’

“Hakikatnya kita tidak kekurangan tanah, tenaga kerja petani dan penternak, infrastruktur dan dana kerajaan untuk memastikan sumber makanan asas dibekalkan secara domestik tanpa import,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, beliau berkata, apa yang kurang adalah tiada kehendak politik bagi merancang dan menjayakan wawasan berkenaan.

“Biarlah mengambil masa 10 tahun sekalipun yang penting kita ada sasaran dan bergerak secara konsisten bagi mencapainya.

“Isu sekarang ialah kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan konkrit bagi mencapai 100 peratus Self Sufficiency Ratio (SSR) bagi semua makanan asas rakyat Malaysia.

“Kita juga berhadapan dengan masalah ketirisan dana, kebobrokan dalam pengurusan serta ketidakstabilan politik yang menyebabkan para ahli politik sibuk berpolitik dan tertinggal agenda membangun serta mempertahankan negara,” katanya.

-