Taska, tadika boleh ditutup jika HFMD terus meningkat

Mohd Akmal (kanan) menyerahkan lesen kepada pemilik premis pada Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual dan Majlis Penyerahan Lesen Sempena Sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa Peringkat Negeri Perak di Ipoh.
Mohd Akmal (kanan) menyerahkan lesen kepada pemilik premis pada Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual dan Majlis Penyerahan Lesen Sempena Sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa Peringkat Negeri Perak di Ipoh.
A
A
A

IPOH - Tindakan menutup pusat jagaan kanak-kanak, taska dan tadika akan diambil sekiranya kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) terus menunjukkan peningkatan di Perak.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Akmal Kamaruddin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan itu berikutan Perak mencatatkan peningkatan 10 kali ganda iaitu 1,636 kes yang direkodkan sehingga 30 April lalu.

Menurutnya, belum ada pusat jagaan, tadika dan taska yang diarahkan tutup setakat ini.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) sentiasa memantau lokasi-lokasi yang dilaporkan. Peningkatan kes mungkin disebabkan perayaan atau sebagainya.

"Namun, sekiranya sudah sampai tahap perlu ditutup maka pihak Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) akan mengarahkan penutupan. Setakat maklumat yang saya dapat belum ada lagi penutupan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pematuhan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 oleh Premis Yang Ditetapkan Buangan Terjadual dan Majlis Penyerahan Lesen Sempena Sambutan Hari Biodiversiti Antarabangsa Peringkat Negeri Perak di sini pada Khamis.

Mohd Akmal turut mengingatkan pihak terlibat untuk menjaga tahap kebersihan di premis mereka bagi mengelakkan sebarang jangkitan HFMD.

Media melaporkan kes HFMD tinggi dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 1,557 kes (95.1 peratus), diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 70 kes (4.3 peratus) dan selebihnya berlaku pada umur lebih 12 tahun.

Sehingga kini sebanyak 100 wabak dilaporkan di Perak dengan daerah Kinta mencatat angka tertinggi dengan 28 wabak diikuti Larut, Matang dan Selama (LMS) sebanyak 18 wabak dan Hulu Perak (8).

Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika iaitu 69 wabak diikuti oleh rumah persendirian (28), pusat jagaan kanak-kanak (2) dan sekolah rendah (1).