Sila log masuk terlebih dahulu.

HFMD: Segera bawa anak ke fasiliti kesihatan sekiranya bergejala

Ibu bapa diminta segera membawa anak masing-masing ke fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mereka mempunyai gejala HFMD. - Gambar hiasan
Ibu bapa diminta segera membawa anak masing-masing ke fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mereka mempunyai gejala HFMD. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Ibu bapa diminta segera membawa anak masing-masing ke fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mereka mempunyai gejala penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, antara gejala awal HFMD adalah sama seperti Covid-19 iaitu demam dan hari berikutnya akan ada ruam.

"Apa-apa gejala dialami perlu uji dahulu dan bawa anak ke fasiliti kesihatan, kita akan tahu itu HFMD atau Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kesihatan Tahun 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Selasa.

Beliau mengakui bahawa kes HFMD mencatatkan peningkatan membimbangkan dan Jabatan Kesihatan negeri telah diarahkan untuk menjalankan tindakan intervensi, selain hebahan Pejabat Kesihatan Daerah berkenaan penyakit HFMD di kawasan mereka.

Khairy turut meminta pengusaha Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) untuk menjaga kebersihan di premis masing-masing bagi mencegah penyakit itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa berkata, jumlah kes penyakit HFMD di negara ini meningkat pada kadar membimbangkan iaitu sebanyak 15 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lepas dengan 31,661 kes dilaporkan.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 7,526 kes direkodkan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 berakhir pada 14 Mei yang menunjukkan peningkatan sebanyak 349 peratus, berbanding ME sebelumnya dengan hanya 1,676 kes di seluruh negara.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai ketiadaan wakil doktor pelatih dalam Pasukan Petugas Khas Bagi Penambahbaikan Budaya Kerja Perkhidmatan Kesihatan (HWCITF), Khairy berkata, pasukan petugas khas itu tidak memerlukan wakil doktor pelatih untuk ia berfungsi dan mendapatkan maklumat.

Artikel Berkaitan:

"Kita mahu pasukan itu bebas. Petugas pasukan khas juga akan minta pandangan daripada semua pihak dan mereka (doktor pelatih) bebas beri pandangan supaya pasukan petugas dapat kemuka laporan yang seimbang,” katanya.

HWCITF ditubuhkan susulan insiden kematian seorang pegawai perubatan siswazah (PPS) di Hospital Pulau Pinang selain laporan dan aduan yang diterima berkaitan kejadian buli serta masalah tekanan mental yang dihadapi bukan sahaja oleh PPS malah kakitangan perkhidmatan kesihatan.

Pasukan itu dipengerusikan oleh bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dan dianggotai lapan individu profesional serta pakar dalam bidang masing-masing. - Bernama