Isu gandum: Peniaga roti canai, tempayan kecilkan pengeluaran

Mohd Faizul Rohban (depan) terpaksa mengurangkan pengeluaran roti canai dan tempayan ekoran desas-desus kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran ketika ini.
Mohd Faizul Rohban (depan) terpaksa mengurangkan pengeluaran roti canai dan tempayan ekoran desas-desus kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran ketika ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Peniaga roti canai dan tempayan di negeri Kelantan terpaksa mengambi langkah awal dengan mengecilkan pengeluaran bagi mengelakkan kesukaran mendapatkan bekalan gandum yang dilaporkan akan terputus tidak lama lagi.

Difahamkan bekalan gandum akan berkurangan di pasaran susulan India yang merupakan salah satu negara pengeluar tidak mengeksport bahan mentah tersebut selain krisis Ukraine dan Rusia masih berpanjang.

Selain itu, peniaga turut diselubungi kebimbangan apabila harga bahan mentah yang menjadi nadi utama dalam penghasilan makanan tersebut mengalami kenaikan.

Seorang peniaga, Mohd Faizul Rohban Ahmad berkata, setiap hari dia menggunakan dua guni tepung gandum putih dan satu guni tepung gandum merah untuk menghasilkan roti canai serta tempayan.

"Namun jumlah penggunaan tepung tersebut terpaksa dikurangkan dengan menghadkan penghasilan roti canai serta tempayan. Langkah itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan kami daripada menutup operasi," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurutnya, pembukaan semua sektor ekonomi sejurus negara melangkah ke fasa peralihan endemik akibat Covid-19 pada 1 April lalu amat menggembirakan apabila perniagaan kembali rancak seperti sebelumnya.

Katanya, bagaimanapun kenaikan harga dan kekurangan bekalan di pasaran merencatkan sedikit pemulihan perniagaannya.

Mohd Faizul Rohban berkata, ketika ini tepung gandum yang digunakan untuk menghasilkan roti tempayan mengalami kenaikan sebanyak RM10 untuk satu guni dan ia merupakan satu jumlah yang agak besar.

"Jika keadaan ini tidak diatasi agak sukar juga untuk saya menurut saranan kerajaan melaksanakan gaji minimum RM1,500 kepada pekerja.

"Hal ini kerana tanpa gandum bagaimana ekonomi kedai kami hendak bergerak dan melaksanakan arahan gaji minimum," katanya.

Seorang pemborong, Kamarul Nizam Mustapa, 46, berkata, buat masa ini bekalan tepung gandum masih lagi mencukupi dan boleh dijual seperti biasa kepada peruncit.

Bagaimanapun menurutnya, untuk tempoh jangka panjang jumlah bekalan itu tidak dapat dipastikan selepas ura-ura mengatakan pengeluar utama dunia iaitu India enggan mengeksport bahan tersebut.

"Bagi memastikan bekalan terus cukup saya menghadkan penjualan.

"Jangan bimbang harga jualan masih lagi kekal seperti biasa sebagaimana yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Sementara itu seorang pengguna, Nurul Yusoff, 34, berkata, kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengelakkan bekalan tepung gandum terputus di pasaran.

"Bukan sahaja gandum, barangan lain perlu turut diberikan perhatian terutama dari segi harga.

"Jadi saya harap KPDNHEP (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dapat turun padang untuk membuat pemantauan setiap hari," katanya.