Pahang bakal bangunkan industri karavan

Wan Rosdy (berdiri,tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU tersebut yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (duduk, dua dari kanan) mewakili Kerajaan
Pahang bersama dengan wakil daripada CIVD.
Wan Rosdy (berdiri,tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani MoU tersebut yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak (duduk, dua dari kanan) mewakili Kerajaan Pahang bersama dengan wakil daripada CIVD.
A
A
A

KUANTAN - Pahang bakal bangunkan industri pembuatan karavan selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Caravaning Industry Association (CIVD) yang berpangkalan di Jerman pada Sabtu.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MoU itu merangkumi pelaksanaan pembinaan taman karavan, pusat pemasangan karavan, eko-sistem pembuatan karavan dan pusat bekalan karavan untuk pasaran Asia Pasifik serta Australia.

Menurutnya, industri itu mampu menarik pelaburan asing bernilai RM500 juta daripada CIVD, sekiranya ia berjaya direalisasikan di Pahang.

"Kita akan memberi komitmen sepenuhnya bagi membangunkan industri karavan di negeri ini dan taman karavan ini akan beroperasi di lokasi strategik yang akan dikenalpasti kemudian.

"Kita yakin Pahang boleh dijadikan hub pengeluaran karavan terkemuka di rantau ini kerana negeri ini sememangnya terkenal dengan industri pemasangan kereta jenama terkemuka dunia seperti Mercedes, Volkwagen, dan Isuzu di Taman Perindustrian Automotif, Pekan," katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Beliau berkata, kerjasama strategik ini turut mendapat sokongan dan penglibatan daripada pihak East Coast Economic Region (ECER).

Tambah beliau, MoU ini merupakan titik penting bagi Pahang dan Jerman untuk memperkukuh kerjasama ekonomi khususnya membangunkan industri karavan yang berdaya saing di rantau ini.

"Ini sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan yang menarik dan kompetitif untuk warga tempatan. Kita berharap agar MoU ini dapat direalisasikan bukan sahaja bagi membangunkan industri baharu di Pahang tetapi juga menyumbang kepada hasrat kita untuk meningkatkan pelaburan asing ke negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan: