SUV masuk laluan bertentangan, pemandu ditahan polis

Tangkap layar video tular insiden babit seorang lelaki warga asing yang memandu SUV.
Tangkap layar video tular insiden babit seorang lelaki warga asing yang memandu SUV.
A
A
A

JOHOR BAHRU- Seorang lelaki warga asing ditahan selepas kenderaa utiliti sukan (SUV) dipandunya dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan sebuah kereta di Jalan Banjaran Utama, Kempas, di sini, malam Selasa lalu.

Kejadian kira-kira jam 10.46 malam itu membabitkan Toyota Harrier dipandu lelaki berusia 32 tahun dan Honda Civic dipandu lelaki tempatan berusia 26 tahun.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya mengesan satu perkongsian video kejadian itu yang dimuat naik di media sosial pada Rabu.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Toyota Harrier terbabit memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan Honda Civic berkenaan.

“Akibat pergeseran itu, Toyota Harrier terbabas ke sebelah kiri jalan.

“Kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan akibat kemalangan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, pemandu warga asing terbabit ditahan dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis bagi permohonan perintah reman untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang lesen memandu tidak kurang lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, tular video dan foto seorang lelaki dipercayai etnik Rohingya didakwa cuba melarikan diri selepas melanggar sebuah kereta di Jalan Banjaran Utama, Kempas di sini.

Video berdurasi 1.34 saat itu memaparkan lelaki berkenaan keluar dari kenderaan utiliti sukan (SPV) yang terjungkit sedikit dalam keadaan sebelah tayar sudah masuk longkang di bahu jalan tersebut.

Seorang wanita kemudian bertanya lelaki tersebut orang mana dan sama ada mempunyai lesen memandu.

Lelaki berkenaan menjawab dia berbangsa India dan mempunyai lesen memandu serta turut memiliki kad pengenalan.

Turut dipaparkan dalam foto tular itu kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dipercayai milik lelaki tersebut.

Perkongsian itu turut mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan status lesen memandu lelaki terbabit, penggunaan kenderaan yang didaftarkan atas nama individu lain serta tanggungjawab membayar ganti rugi sekiranya berlaku kemalangan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!