Jawatankuasa pelaksanaan Keluarga Malaysia Perpaduan Ummah perlu wujud

Kamarulzaman (empat dari kanan) bersama peserta Sidang Meja Bulat pada Ahad.
Kamarulzaman (empat dari kanan) bersama peserta Sidang Meja Bulat pada Ahad.
A
A
A

KAJANG - Jawatankuasa pelaksanaan Keluarga Malaysia Perpaduan Ummah perlu diwujudkan bagi mencapai muafakat perpaduan nasional.

Panel Penasihat Hal Ehwal Islam Menteri Agama, Dr Kamarulzaman Yusuf berkata, ini kerana negara masih gagal dalam membina perpaduan di antara kaum.

Jelasnya, jawatankuasa itu perlu terdiri daripada para ilmuwan, agamawan, cendekiawan, pimpinan pelbagai agensi dan masyarakat sivil merentasi sempadan.

“Menyedari akan kepentingan adanya program dan promosi tersusun kepada pengukuhan konsep ‘Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera' yang didokong oleh tiga teras utama, iaitu pemeliharaan keharmonian antara kaum dan penganut agama, pengukuhan interaksi dan hubungan antara kaum serta pemerkasaan tadbir urus.

“Perpaduan ummah yang menjadi teras utama kepada perpaduan nasional hendaklah dilaksanakan. Bagi merealisasikan tujuan ini, satu jawatankuasa pelaksana Keluarga Malaysia perpaduan ummah hendaklah diwujudkan,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian dalam Resolusi Sidang Meja Bulat Perpaduan Nasional Keluarga Malaysia di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara agenda utama jawatankuasa itu adalah menyediakan satu kertas konsep perpaduan ummah.

Jelasnya, ia bagi menjadi teras utama kepada perpaduan nasional iaitu penyatuan bangsa dan keluarga Malaysia.

Selain itu, Kamarulzaman berkata, jawatankuasa itu juga perlu menyediakan satu pelan tindakan Keluarga Malaysia yang didasarkan oleh perpaduan ummah.

“Pelan tindakan ini melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Perpaduan Negara, Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan pelbagai lagi agensi lain.

“Jawatankuasa ini juga akan memberi pemahaman dan meluaskan konsep ummah seperti yang termaktub di dalam Piagam Madinah. Iaitu konsep ummah yang merangkumi masyarakat Islam dan bukan Islam, dengan mengambil kira sensitiviti penduduk negara Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan keturunan,” ujarnya.

Tambahnya, agenda lain adalah mengadakan dialog antara agama, bangsa dan budaya dalam kalangan keluarga besar Malaysia.

Beliau mencadangkan agar ia di bawah seliaan Jakim dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Dialog ini melibatkan pelbagai peringkat dengan keutamaan diberikan kepada daerah dan negeri yang berbilang kaum dan keturunan,” katanya.

Menurut Kamarulzaman, jawatankuasa itu juga akan bertanggungjawab memperkasakan pendidikan yang mengutamakan perpaduan dan memurnikan komunikasi bagi mengukuhkan perpaduan.