Pelancongan di Langkawi semakin rancak, bukan ‘lumpuh’

Pulau Langkawi sentiasa menjadi pilihan destinasi untuk bercuti. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
Pulau Langkawi sentiasa menjadi pilihan destinasi untuk bercuti. (Gambar kecil: Muhammad Sanusi)
A
A
A

ALOR SETAR - Sektor pelancongan di Langkawi semakin rancak dengan kemasukan pelancong yang semakin meningkat selepas rentas negeri dibenarkan termasuk pada musim perayaan Aidilfitri.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sepanjang tempoh cuti Hari Raya Aidilfitri bermula 28 April hingga 6 Mei lepas, seramai 80,436 orang memasuki pulau peranginan itu, yang mana 54,081 orang daripadanya menggunakan laluan laut manakala selebihnya melalui laluan udara.

Menurutnya, ia sekali gus menangkis dakwaan bahawa industri pelancongan di Langkawi berisiko lumpuh gara-gara kekurangan tenaga kerja seperti yang tular.

“Apa yang tular itu tidak betul. Saya kesal dengan dakwaan kononnya pelancongan Langkawi bakal lumpuh disebabkan kekurangan tenaga kerja dalam bidang hospitaliti seperti hotel kerana ia tidak tepat, sebaliknya kedatangan pelancong ke pulau legenda itu terus mencatatkan peningkatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, sebuah akhbar tempatan mendakwa industri pelancongan Langkawi mungkin lumpuh berikutan pulau peranginan itu kekurangan tenaga kerja.

Laporan yang memetik sumber daripada industri perhotelan Malaysia mendakwa, 30,000 pekerja hotel dan perkhidmatan hospitaliti di pulau itu masih belum diisi sehingga kini.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi tidak menafikan berlaku kekurangan pekerja di Langkawi namun tidak seburuk yang digambarkan.

“Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) telah berhubung dengan MyFutureJob cawangan Langkawi bagi mendapatkan situasi sebenar, anggaran daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mendapati jumlah kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor yang tidak terisi hanya 17,000, bukannya 30,000 orang.

“Antara punca perkara ini berlaku adalah permulaan gaji dan faedah yang kurang menarik berbanding sebelum pandemik. LADA bersama MyFutureJob kini sedang bekerjasama bagi mendapatkan sumber tenaga kerja alternatif, antaranya memperhalusi program sistem parol melibatkan Jabatan Penjara Malaysia.” ujarnya.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi LADA berkata, LADA juga telah mengadakan perbincangan bersama pengusaha feri, Jabatan Laut dan pengendali dermaga pelabuhan bagi membincangkan isu berkaitan trip perjalanan melalui pengangkutan air.

“Jabatan Laut bersetuju mendalamkan semula muara yang menjadi laluan utama feri ke Langkawi, iaitu Kuala Kedah dan Kuala Perlis. Ini kerana kawasan perairan tersebut berdepan fenomena alam yang berlaku setiap tahun namun pandemik menyebabkan situasi semakin parah. Kerja-kerja mendalamkan muara di kedua-dua laluan sedang rancak dilaksanakan.

“Setakat ini secara puratanya terdapat empat trip feri dari Kuala Perlis dan empat trip dari Kuala Kedah sehari dan jumlah ini bertambah berdasarkan kepada jumlah pelancong,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga sedang memohon kebenaran Kementerian Pengangkutan untuk Roro beroperasi dari Kuala Kedah ke Langkawi untuk menambahkan lagi jumlah pengangkutan ke pulau legenda itu.

“Kerja-kerja pengerakan di Kuala Kedah bermula 1 Disember tahun lalu dan dijangka siap 30 September ini. Manakala di Kuala Perlis bermula pada 21 Februari dan dijangka siap Februari 2023, melibatkan sembilan kilometer (km) panjang dan 70 meter (m) lebar alur pelayaran di Kuala Perlis.

"Saya harap masalah air cetek dapat diatasi selepas selesai naik taraf seterusnya dapat merancakkan lagi pelancongan di Langkawi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi turut menepis dakwaan bahawa penerbangan ke Langkawi dihadkan oleh syarikat penerbangan.

“Kenyataan tersebut kurang tepat kerana data dari Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada ketika ini menunjukkan jumlah penerbangan pada waktu puncak melebihi 30 penerbangan sehari. Jumlah ini bertambah berdasarkan permintaan penumpang, pada waktu biasa sekitar 19 penerbangan sehari,” jelasnya lagi.

Menurutnya, penerbangan masuk ke Langkawi direkodkan antara 20 hingga 30 sehari yang mana lebih tinggi pada hujung minggu dan hari cuti.

“Saya kesal dengan tular berita tak betul seperti itu kerana menjejaskan nama baik Langkawi. Sejak akhir-akhir ini ada usaha memburukkan Kedah dan saya kesal dengan perbuatan itu, saya tak akan biarkan ia berlaku,” tegasnya.