Banjir: 12 sekolah di Sabah masih terjejas

Jalan raya di Beaufort masih belum dapat dilalui susulan banjir di beberapa kawasan.
Jalan raya di Beaufort masih belum dapat dilalui susulan banjir di beberapa kawasan.
A
A
A

KOTA KINABALU - Hanya 12 buah sekolah di Sabah masih terjejas banjir.

Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin berkata, sembilan sekolah di Beaufort dan tiga lagi di Tenom masih belum dapat beroperasi berikutan kawasan sekolah tersebut masih digenangi air banjir dan berlumpur serta laluan ke sekolah yang tidak dapat dilalui.

"Antara sekolah yang terjejas di Beaufort ialah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SKJC) Lian Hwa, Sekolah Kebangsaan (SK) Lago, SK Bangkalalak, SK Garama, SK Mempagar, SK Suasa, SK Lupak dan SK Pintas membabitkan seramai 1,398 murid.

"Sekolah di Tenom pula membabitkan SK Gumisi, SK Ladang Sapong dan SK Inubai di mana seramai 577 murid terpaksa menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," kata beliau dalam kenyataan, pada Jumaat.

Sementara itu, keadaan banjir di Beaufort dan Tenom ketika ini semakin pulih di mana penduduk yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menurun kepada seramai 707 mangsa.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, semua mangsa itu masih ditempatkan di tujuh PPS di Tenom dan Beaufort.

Laporan tersebut memaklumkan semua mangsa membabitkan daripada 323 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas akibat banjir sejak Isnin lalu.

Sebanyak lima PPS masih dibuka di Tenom iaitu Dewan Mini Jinuim Jimin yang menempatkan 139 mangsa; Rumah Kebudayaan Batu-Batu (123); Rumah Kebudayaan Pantagon Saga (47); Dewan Kalang Kanar (24) dan Dewan Terbuka Kampung Saga (22).

Dua lagi PPS di Beaufort membabitkan Dewan Selagon menempatkan seramai 218 mangsa dan Dewan DSP Dun Banir terdapat seramai 134 mangsa banjir.

Laporan itu turut menyatakan, bilangan jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir semakin berkurangan berikutan beberapa kawasan telah pulih.

Sejak Isnin lalu, sebanyak 56 kampung di Beaufort dan 22 kampung di Tenom terjejas akibat banjir di kedua-dua daerah berkenaan.