Emir Qatar salahkan Israel sebabkan wartawan Al Jazeera terbunuh

Shireen Abu Akleh - Foto Al-Jazeera/YouTube
Shireen Abu Akleh - Foto Al-Jazeera/YouTube
A
A
A

TEHRAN - Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani pada Khamis menuduh Israel kerana menyebabkan kematian seorang wartawan Al Jazeera, Shireen Abu Akleh semasa serbuan tentera rejim Zionis dilakukan di Tebing Barat, Palestin.

Shireen dibunuh oleh pasukan penjajah Israel, kata Sheikh Tamim pada sidang akhbar bersama Presiden Iran, Ebrahim Raisi di Tehran.

Shireen yang merupakan warga Palestin-Amerika dan berusia 51 tahun ditembak mati pada Rabu ketika membuat liputan operasi ketenteraan Israel di kem pelarian Jenin, Tebing Barat.

Saluran televisyen pan-Arab yang berpangkalan di Qatar mendakwa bahawa tentera Israel telah membunuhnya dengan sengaja.

Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett berkata pada Rabu bahawa Shireen mungkin terbunuh akibat tembakan sesat penduduk Palestin.

Namun, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz kemudian mengaku ia mungkin disebabkan oleh tembakan penduduk Palestin atau tembakan daripada pihaknya.

Desakan telah dibuat di seluruh dunia supaya penyiasatan bebas terhadap kematian Shireen itu dilakukan.

Bagaimanapun, Palestin telah menolak tawaran Israel untuk menjalankan siasatan bersama dengan menyatakan ia akan menyiasat bersendirian.

Presiden Iran juga mengaitkan Israel dalam kejadian tersebut dengan menyatakan bahawa ia hanya akan meningkatkan kemarahan terhadap Israel. - Agensi