Wartawan veteran Al Jazeera maut ditembak

Shireen Abu Aqleh - Foto Agensi
Shireen Abu Aqleh - Foto Agensi
A
A
A

JENIN - Seorang wartawan veteran Al Jazeera maut ditembak pada Rabu ketika beliau membuat liputan tentang serbuan yang dilakukan tentera Israel ke atas kem pelarian Jenin di Tebing Barat.

Susulan insiden menggemparkan itu, saluran TV berpusat di Qatar mendakwa rejim Zionis sengaja melepaskan tembakan terhadap Shireen Abu Aqleh, 51, dengan sengaja walaupun Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett menuding jari menyalahkan kumpulan bersenjata Palestin bertanggungjawab atas kematian mangsa.

"Berdasarkan maklumat yang kami peroleh, tembakan rambang itu bukan dilepaskan tentera kami," katanya.

Bagaimanapun, penerbit, Ali al-Samudi yang turut cedera menafikan dakwaan tersebut dengan menjelaskan tiada anggota kumpulan penentang Palestin di kawasan tersebut ketika kejadian itu.

"Jika ada anggota mereka di situ, kami tidak akan masuk ke kawasan tersebut. Tentera Israel yang sebenarnya menembak kami," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Jurugambar AFP yang berada di lokasi kejadian memaklumkan Shireen lengkap memakai helmet dan ves tertera tulisan 'media' ketika mangsa jadi sasaran tembakan yang mengenai mukanya.

Al Jazeera menerusi satu kenyataan menzahirkan rasa kesal terhadap insiden itu dan menyifatkan ia sebagai pembunuhan secara terang-terangan dan melanggar undang-undang serta norma antarabangsa.

Ia juga menggesa komuniti antarabangsa supaya memberi tekanan kepada rejim Zionis untuk bertanggungjawab terhadap perbuatan kejam mereka.

Sementara itu, Menteri Luar Israel, Yair Lapid mengesahkan mereka telah melancarkan siasatan patologi bersama ke atas kematian Shireen yang juga memegang kewarganegaraan Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, petugas media kononnya perlu dilindungi di zon konflik dan mereka bertanggungjawab untuk mendapatkan kebenaran.

Sejak beberapa minggu lalu, rejim Zionis dikatakan semakin memperhebatkan operasi mereka dan menyerang penduduk di Jenin yang turut meragut 30 nyawa penduduk Palestin dan tiga Arab Israel. - AFP