LIMA angkat nama Malaysia: PM

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar penerangan ketika melawat pameran selepas merasmikan pembukaan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA‘19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendengar penerangan ketika melawat pameran selepas merasmikan pembukaan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA‘19) edisi ke-15 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - [DIKEMASKINI] Pengenalan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) pada 1991 telah membantu menjadikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan perkembangan pesat industri pertahanan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri, semasa melancarkan LIMA’19 hari ini, berkata langkah menganjurkan LIMA perlu memandangkan Malaysia kini menjadi terkenal dan dikenali sebagai pameran maritim dan aeroangkasa utama di rantau Asia Pasifik.

“Sebagai Ahli Parlimen Langkawi, tentunya bangga dapat menyaksikan edisi LIMA kali ini yang masih menarik peserta maritim dan aeroangka antarabangsa serta perniagaan dari setiap pelusuk dunia.

“Edisi ke-15 LIMA mengimbau kembali edisi 1991 apabila saya melancarkan Rangka Tindakan Pembangunan Industri Aeroangkasa Pertama di Malaysia.

"Ia merupakan satu langkah berani untuk sesetengah orang dan langkah awal bagi orang lain. Tetapi apabila melihat kepada apa yang kita ada sebelum ini dengan pembangunan aeroangkasa hari ini, ia adalah langkah penting untuk memastikan Malaysia seiring dengan pemangkin dan industri pesat berkembang, " katanya dalam ucapan perasmiannya.

LIMA'19 menyaksikan penyertaan 406 syarikat berkaitan pertahanan dan entiti komersil dari 32 negara yang melibatkan 206 syarikat tempatan dan 200 syarikat antarabangsa.

Edisi ke-15 LIMA dianjurkan bersama oleh EN Projects (M) Sdn Bhd, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan.

Dr Mahathir menegaskan bahawa ancaman keselamatan moden memerlukan Malaysia dan negara-negara lain terus menaik taraf dan memodenkan aset strategik mereka dan dengan itu di dalam Belanjawan 2019, kerajaan memperuntukkan RM5.9 bilion bagi sektor keselamatan yang meliputi pertahanan, ketenteraman awam dan penguatkuasaan.

Artikel Berkaitan:

“Pelaburan dalam sektor keselamatan akan melibatkan melengkapkan Angkatan Tentera dengan persenjataan dan teknologi terkini. Kita merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai negara aeroangkasa terkemuka di Asia Tenggara dan bahagian penting dalam pasaran global sebagaimana yang nyatakan dalam Rangka Tindakan Industri Aeroangksa Malaysia 2030.

“ Setakat ini, sebanyak 19 inisiatif utama Rangka Tindakan itu telah dilaksanakan oleh Pejabat Penyelarasan Industri Aeroangkasa Kebangsaan yang menyaksikan perkembangan positif terutamanya dalam perniagaan pembuatan aeroangkasa serta MRO (penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih),” kata beliau.

Perdana menteri berkata, di arena global, Malaysia dikenali dengan produk aeroangkasa berkualiti yang dihasilkannya untuk peneraju aeroangkasa dunia di mana beberapa produk berkenaan turut dipamerkan di LIMA`19 bagi menunjukkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan produk aeroangkasa bertaraf dunia.

Oleh itu, beliau percaya LIMA`19 boleh menjadi tempat bagi peserta global mencari pembekal tempatan yang terlibat dalam eksport produk aeroangkasa.

Selain daripada menghasilkan produk aeroangkasa bertaraf dunia, Dr Mahathir berkata Malaysia juga meninjau peluang lain dalam industri terutamanya dalam reka bentuk, bahagian dan komponen kapal, integrasi sistem dan pengeluaran peralatan marin lain.

Beliau berkata sebagai negara mesra perniagaan, Malaysia juga mengalu-alukan delegasi perniagaan meneroka peluang bekerjasama dengan syarikat tempatan seiring dengan usaha kerajaan untuk memudahkan projek-projek pelaburan dan perkongsian perniagaan serta menyediakan platform perniagaan bagi industri aeroangkasa dan maritim.

Dalam ucapannya, perdana menteri juga menyentuh mengenai Kertas Putih Pertahanan yang disediakan Kementerian Pertahanan, yang beliau percaya merupakan sumbangan penting kepada landskap pertahanan Malaysia atas beberapa sebab dan mewakili prospek strategik mengenai pertahanan.

“Pengenalan Kertas Putih Pertahanan memang tepat pada masanya. LIMA menekankan semula sumbangan industri pertahanan kepada perkembangan sosioekonomi negara. Sebagai keluaran sampingan kepada sektor ekonomi lain, industri pertahanan yang kukuh dan berwibawa akan mengukuhkan dua tonggak utama keselamatan negara - kesejahteraan ekonomi dan kestabilan politik.

“Kami akan terus menggalakkan syarikat pertahanan tempatan untuk bekerjasama secara strategik dan mengeluarkan perkakasan di dalam negara. Prinsip ini akan terus menjadi fokus utama perbincangan kami dalam edisi LIMA kali ini. Acara seperti LIMA juga akan mengingatkan semua orang bahawa industri pertahanan juga membawa perkara penting – agenda negara,” katanya.

LIMA`19 akan menjadi tuan rumah delegasi perniagaan dari 31 negara dan 390 syarikat pertahanan dan komersial dengan 195 perniagaan antarabangsa akan mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka sepanjang lima hari pameran.

Kira-kira 42,000 pelawat perdagangan dijangka berhimpun di LIMA`19, bukan sahaja untuk menyaksikan produk dan perkhidmatan terkini yang ditawarkan peserta pameran tetapi juga untuk meneroka potensi perniagaan terutama dengan syarikat yang berpangkalan di Malaysia. - Bernama