Pameran Maritim, Aeroangkasa Langkawi kembali lebih hebat

 Anthony
Anthony
A
A
A

LANGKAWI - Selepas Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi edisi 2021 tidak dapat diadakan susulan pandemik Covid-19, tahun ini pameran perdagangan aeroangkasa dan maritim terkemuka di rantau Asia-Pasifik itu kembali dengan lebih hebat, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, banyak syarikat dan organisasi besar telah menggunakan peluang yang ditampilkan menerusi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA’23) tahun ini bagi memuktamadkan urusniaga di samping membentuk perkongsian.

"Secara keseluruhannya memorandum persefahaman (MoU) dan kontrak komersial bernilai RM7.5 bilion telah ditandatangani semasa LIMA’23 ini.

"Ini merupakan kali kedua Kementerian Pengangkutan bertindak sebagai peneraju bersama antara kementerian untuk penganjuran LIMA. Sukacita saya maklumkan bahawa segmen komersial telah berkembang dengan lebih besar tahun ini,” katanya semasa berucap pada majlis penutupan LIMA’23 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini pada Sabtu.

Turut hadir pada majlis penutupan itu ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anthony juga berkata, pihaknya berjaya memeterai tiga MoU sepanjang LIMA'23, iaitu kerjasama strategik responden pertama antara Biro Siasatan Kemalangan Udara dengan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Airports.

"MOU ini akan memastikan pematuhan kepada piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa, dan untuk meningkatkan kerjasama semasa kemalangan pesawat dan siasatan insiden,” katanya.

Anthony turut memuji agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, iaitu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia atas peranan mereka dalam memudahkan mesyuarat pemadanan perniagaan antara syarikat Malaysia, terutama perusahaan kecil dan sederhana, dengan pembeli dan rakan kongsi asing.

"Usaha ini telah membantu meningkatkan lagi keupayaan pemain Malaysia dalam sektor aeroangkasa dan maritim dan dengan berbuat demikian, ia mendekatkan kita untuk merealisasikan matlamat negara seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Negara dan Pelan Induk Industri Perkapalan Malaysia,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan pameran itu juga menyediakan platform untuk peneraju industri dalam industri aeroangkasa dan maritim untuk membincangkan perkara yang mendesak serta saling bertukar idea mengenai cara mengatasi cabaran yang dihadapi oleh sektor itu.

"Sebagai sebuah negara maritim utama, Malaysia komited untuk memelihara laluan laut terbuka bagi memastikan kesinambungan perkapalan dan perdagangan antarabangsa,” katanya.

LIMA’ 23 dengan tema "Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia yang berlangsung sejak Selasa, telah menarik lebih 525 peserta pameran, termasuk 140 syarikat daripada industri pertahanan, 101 syarikat daripada sektor komersial dan 284 syarikat dari kedua-dua sektor. - Bernama